Adun Warisan dakwa ditawar RM32 juta untuk lompat parti


Adun Gum Gum Arunarsin Taib mendakwa dihubungi ejen blok pembangkang untuk belot dan menyokong bekas ketua menteri Sabah Musa Aman. – Gambar Facebook, 23 September, 2020.

ADUN Warisan Plus ditawarkan RM32 juta untuk berpaling tadah kepada kem bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman, kata wakil rakyat Gum Gum, Arunarsin Taib.

Portal berita Borneo Today melaporkan Arunarsin berkata beliau sendiri turut ditawar lompat parti “sekurang-kurangnya 10 kali”.

Bekas penolong menteri belia dan sukan negeri itu berkata beliau diberitahu bulan lalu oleh “ejen politik” bahawa mereka yang melompat akan mendapat RM27 juta jika menyokong Musa dan tambahan RM5 juta jika memegang jawatan menteri dan pembantu menteri negeri.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan RM32 juta untuk mengkhianati mandat rakyat,” katanya.

Pilihan raya negeri Sabah diadakan pada 30 Julai selepas percubaan Musa dan Adun yang menyokong kerajaan persekutuan untuk menggulingkan ketua menteri dan presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal.

Arunarsin berkata ejen yang menghubunginya cuba meyakinkan dengan berkata kerajaan negeri akan jatuh.

“Saya jelaskan kepada ejen-ejen berkenaan, sayang duit begini banyak dikasi kaya YB-YB (wakil rakyat). YB kaya tapi rakyat menderita kerana kuasa),” katanya.

Namun, Arunarnsin berkata beliau menolak tawaran mereka kerana setia kepada Shafie.

Beliau juga mendakwa selalu diganggu oleh ejen untuk menerima tawaran itu.

“Mereka akan cuba menjejaki saya bila panggilan telefon mereka tidak dijawab atau mesej di WhatsApp tidak dibalas.

“Tidak cukup setakat itu, keluarga saya turut dihubungi oleh mereka sehingga ada yang sanggup mengintai di rumah saya,” katanya. – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen