Keputusan ujian kedua Covid-19 Zahid negatif


Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

KEPUTUSAN ujian saringan kedua Reverse Transcriptase - Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Covid-19 yang dijalani Ahmad Zahid Hamidi Isnin lalu adalah negatif.

Perkara itu dimaklumkan peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Zahid dalam kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi ahli Parlimen Bagan Datuk itu menerusi WhatsApp ketika dihubungi hari ini. 

“Keputusan ujian kedua RT-PCR Datuk Seri Ahmad Zahid yang keluar pada 9.30 malam tadi adalah negatif.  Kami telah maklumkan (keputusan) kepada mahkamah dan pihak pendakwaan,” katanya.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad turut mengesahkan perkara itu. 

“Saya sudah dimaklumkan (keputusan),” katanya. 

Semasa prosiding perbicaraan kes Zahid pada Isnin lalu, mahkamah membenarkan permohonan bekas timbalan perdana menteri itu untuk menangguhkan perbicaraan pada petang Isnin dan semalam, susulan ujian saringan Covid-19 yang dijalaninya. 

Ini berikutan, Hamidi memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menjalani ujian saringan kedua di Hospital KPJ Tawakal di Kuala Lumpur pada Isnin lalu. 

Peguam itu berkata keputusan bagi ujian saringan pertama Zahid adalah negatif. 

Berdasarkan akaun media sosial rasmi milik presiden Umno itu, beliau berada di Sabah sejak minggu lepas bagi kempen Pilihan Raya Negeri Sabah dan tiba di Kuala Lumpur, Ahad lalu. 

Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan kes itu akan bersambung Isnin depan. – Bernama, 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen