MALAYSIA mencatat lebih banyak kes pulih Covid-19 berbanding kes baharu hari ini, iaitu seramai 168 pesakit dibenarkan discaj, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Sebanyak 82 kes baharu juga dilaporkan hari ini, termasuk satu kluster baharu di Sabah, tambah beliau.
Daripada jumlah itu, 72 kes adalah penularan tempatan, di mana 60 kes dikesan di Sabah, kesemuanya rakyat tempatan.
Empat puluh satu kes dari kluster Benteng LD, manakala kluster Pulau dan kluster Selamat, juga di Sabah, masing-masing melaporkan enam kes.
Kluster baharu yang dikenali kluster Bangau-Bangau di Semporna pula, lima kes dikesan, kata Dr Noor Hisham.
Penularan tempatan turut dikesan di Kedah membabitkan 10 kes, di mana sembilan daripadanya dari kluster Sungai. Satu lagi kes baharu dikesan di negeri itu, iaitu daripada saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kota Setar.
Selangor dan Sarawak pula masing-masing melaporkan satu kes.
Daripada 10 kes import, sembilan adalah pelajar Malaysia yang pulang darai India.
Jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sehingga kini 10,358 kes, manakala jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 9,563 kes.
Kes aktif menurun kepada 665 berbanding 751 yang dilaporkan semalam. Sembilan pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.
Tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian kekal 130 orang. – 22 September, 2020.

Komen