SPRM tahan 2 anggota keselamatan disyaki beli undi


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengarah SPRM Sabah S. Karunanithy mengesahkan penahanan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2020.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka kertas siasatan terhadap dua anggota pasukan keselamatan yang ditahan membawa sejumlah wang disyaki untuk “membeli” undi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai berperanan menerima dan mengagihkan sejumlah wang disyaki untuk “membeli” undi bagi pihak seorang calon parti politik tempatan yang bertanding.

“Mereka dikatakan menjadi ‘orang tengah’ untuk memberi wang kepada pengundi yang mengundi awal hari ini.

“Kes ini sebenarnya dirujuk oleh polis kepada SPRM selepas menerima aduan berhubung dua suspek itu,” katanya.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua anggota keselamatan terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali, ketika dihubungi, mengesahkan dua anggota terbabit ditahan di Lahad Datu, semalam.

“Saya sahkan penahanan dua anggota keselamatan terbabit. Kes ini diserahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut,” katanya. – 22 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen