Sekolah antarabangsa Sarawak baiki jurang sistem pendidikan, kata KM


Desmond Davidson

Sarawak akan membina lima buah sekolah antarabangsa untuk mengatasi jurang sistem pendidikan kebangsaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2020.

SARAWAK meneruskan rancangan untuk mengatasi masalah tenaga kerja di negeri yang disebabkan “jurang” dalam sistem pendidikan kebangsaan, dengan majlis peletakan batu asas lima buah sekolah antarabangsa diuruskan kerajaan negeri.

Sekolah tersebut yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai pengantar bermatlamat menghasilkan pelajar yang mahir bahasa utama dunia itu.

Ketua Menteri Abang Johari Openg dalam ucapannya ketika majlis itu hari ini berkata, aduan yang sering diterima daripada syarikat negeri itu terutamanya syarikat antarabangsa adalah mereka bermasalah mendapatkan “orang yang tepat”.

“Kita ada graduan tetapi syarikat kata mereka ada masalah dengan graduan ini.

“Mereka (graduan) tidak mahir berbahasa Inggeris. Masalah mungkin nampak remeh tetapi itu dilema yang dihadapi syarikat dan kita (kerajaan negeri),” katanya.

Tambahnya, memandangkan Bahasa Inggeris adalah bahasa teknologi dan perusahaan antarabangsa dan sekiranya Sarawak mahu jadi antara yang terbadik di dunia, “kita perlu melatih pelajar kita selaras dengan keperluan masa depan.”

Beliau bagaimanapun menjelaskan yang walaupun sekolah itu menggunakan Bahasa Inggeris, untuk pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, ia tidak bermaksud kerajaan negeri tidak lagi percayakan dasar pendidikan kebangsaan.

Katanya, negeri masih akan berpegang kepada dasar pendidikan kebangsaan walaupun ia kerap berubah setiap kali menteri bertukar.

Pelajar sekolah itu juga perlu belajar Bahasa Malaysia dan menduduki peperiksaan.

Abang Johari juga berkata, pelajar yang cemerlang di sekolah itu berpeluang mendapatkan biasiswa penuh untuk pengajian di universiti terkemuka luar negara. – 22 September, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen