FILIPINA mahu mencontohi Libya dalam memerangi pengganas Daesh, kata Kuasa Usaha Filipina ke Libya Elmer G. Cato pada Isnin, lapor agensi berita Xinhua.
Cato berkata demikian semasa mesyuarat dengan Menteri Pertahanan kerajaan Libya yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Salah Addin Al-Namroush, menurut kenyataan dikeluarkan kementerian pertahanan.
“Kuasa Usaha itu menyatakan hasrat negaranya untuk memulakan kerjasama antara Libya dan Filipina dalam bidang latihan maritim, pertukaran maklumat dan pertahanan siber.
“Cato juga mahu negaranya mendapat manfaat daripada pengalaman Libya dalam memerangi Daesh di Sirte, untuk membolehkan angkatan tentera Filipina meningkatkan lagi keupayaan membanteras keganasan,” kata kenyataan itu.
Menteri pertahanan Libya turut menyuarakan hasrat kementerian untuk bekerjasama dengan Filipina dalam semua bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Sirte, terletak 450 kilometer di timur ibu kota Tripoli, pernah dikuasai militan Daesh sebelum pasukan bersekutu yang disokong PBB menawan kembali bandar itu pada Disember 2016. – Bernama, 22 September, 2020.
Komen