Sempadan ditutup, industri bangunkan pakej baharu tarik pelancong tempatan


Khoo Gek San

Industri pelancongan tempatan tidak lagi boleh bergantung kepada pelancong asing susulan sekatan bagi mengawal pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2020.

PENGENDALI pelancongan tempatan kini mula membangunkan pakej baharu penerokaan budaya setempat dan kawasan tarikan dalam negara berasaskan komuniti untuk terus bertahan daripada kesan pandemik Covid-19.

Disebabkan sempadan negara masih ditutup, mereka tidak lagi boleh bergantung kepada pelancong asing.

Tetapi, masalah timbul apabila pakej pelancongan sedia ada sekarang seperti mencanting batik, kelas memasak dan pengalaman budaya lebih menarik minat pelancong asing.

Pelancong tempatan lebih gemarkan percutian luar negara atau percutian rehat dan bersenang-senang.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Wanita Malaysia Erina Loo berkata sekatan pergerakan untuk mengekang penularan wabak memaksanya memikirkan kaedah lain pembangunan produk pelancongan baharu yang menyasarkan pasaran domestik.

Beliau merasakan pelancongan kebudayaan berasaskan komuniti boleh menarik minat pelancong tempatan serta dapat memberi manfaat kepada industri perhotelan dan penduduk di kawasan pelancongan.

“Matlamat kami adalah membangunkan startegi pelancongan menang-menang dengan penduduk tempatan yang akan bekerjasama mendidik pelancong tentang budaya dan adat setempat kawasan itu.

“Ia adalah cara mempromosi dan memelihara warisan budaya selain bersiar-siar,” katanya.

Loo turut merasakan masa depan pelancongan Malaysia akan bergantung kepada pakej skala kecil disebabkan pelbagai peraturan kesihatan pencegahan Covid-19 yang dikuatkuasa.

Loo yang menguruskan agensi pelancongannya sendiri, sudah memulakan pakej jelajah budaya lebih sedekad lalu. Tetapi, pakej itu selalunya disertai pelancong asing yang mahu pemandu pelancong membawa mereka sekitar Kuala Lumpur dan bercerita mengenai sejarahnya.

“Sangatlah dikesalkan kerana hanya pelancong asing tertarik dengan pakej itu. Dua tiga tahun kebelakangan ini barulah lebih ramai pelancong tempatan berminat,” katanya.

Loo kini merancang pakej bengkel pelancongan melibatkan aktiviti kebudayaan seperti tarian tradisional seperti Mak Yong, permainan tradisional seperti congkak, mencanting batik, kelas masakan kuih muih dan masakan Malaysia dan negara Asia Tenggara lain.

“Orang sekarang jarang masak kuih muih traditional Malaysia lagi. Makanan ini juga ada cerita disebaliknya yang boleh dipelajari.”

Bulan lepas, syarikat Loo menganjurkan bengkel “Teroka Raub”, pakej itu membolehkan pelancong yang menyertainya merasai sendiri pengalaman kehidupan masyarakat Hakka dan merasai kuih muih dan mee Hakka yang terkenal selain makan Musang King di dusun durian yang banyak terdapat di Raub.

Pemandu pelancong tempatan melakukannya bagi mempromosi warisan budaya Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2020.

Pakej sebegini mungkin tidak seuntung pakej kumpulan besar seperti sebelum ini dan memerlukan lebih banyak persediaan dibuat hanya untuk kumpulan kecil kerana perlu mematuhi SOP cegah Covid-19, katanya.

Tetapi, Loo menggesa lebih banyak pemandu pelancong tempatan melakukannya bagi mempromosi warisan budaya Malaysia.

“Matlamatnya adalah untuk menggalakkan rakyat Malaysia berminat dengan budaya mereka sendiri. Dengan cara ini juga, saya berharap dapat memecahkan halangan budaya, jadi semua kumpulan kaum ada peluang menghargai budaya antara mereka,” katanya.

Seorang lagi pemandu pelancong, Tommy Tan, pula membangunkan pakej teroka hutan 4WD disasarkan kepada pencinta alam dan pakej pelancongan lebih mencabar termasuklah berkhemah di tepi sungai, mandi manda di air terjun dan mendaki gunung.

“Kami tahu lebih 150 tapak perkhemahan ekslusif di Semenanjung. Kami semua ada peralatan seperti tandas bergerak dan khemah dan tahu jalannya, pelancong hanya perlu bawa pakaian mereka untuk menikmati keindahan alam.”

Timbalan Pengerusi Persatuan Bersatu Pemandu Pelancong Malaysia (Mutga) Lim Bam Soon turut meluahkan sokongan kepada pembangunan lebih banyak pakej buday tempatan dan melihat pandemik yang berlaku sekarang sebagai peluang kepada pemandu pelancong mendalamkan pengetahuan mereka tentang negara ini.

“Kami galakkan pemandu pelancong teroka lebih banyak tarikan baharu pelancongan tempatan. Ketika ini, anda tak boleh fikir hanya buat untung.

“Tengok keindahan yang kita ada di Malaysia dan belajar lebih banyak tentang budaya dan tarikan bersejarah negara.

“Bila sempadan antarabangsa dibuka semula untuk pelancong asing masuk, pengetahuan pemandu pelancong tentang tarikan baharu akan menaikkan tahap profesionalisme mereka,” kata Lim lagi. – 25 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen