Kenyataan saya diputar belit, kata Mohamaddin


Bekas menteri pelancongan, seni dan budaya Mohamaddin Ketapi berkata video yang tular itu seharusnya dimainkan sepenuhnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2020.

BEKAS menteri pelancongan, seni dan budaya Mohamaddin Ketapi hari ini menegaskan beliau tidak menghina anggota keselamatan yang bertugas semasa kejadian di Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

Mohamaddin berkata kenyataannya dalam video yang tular hanya untuk memberi gambaran mengenai kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu memantapkan aset sempadan negara, sehingga berlakunya pencerobohan.

Beliau juga mendakwa kenyataannya diputarbelitkan pihak lawan khasnya dari Semenanjung.

“Kenyataan saya semasa kempen di Kampung Wawasan telah disalah ertikan. Saya tidak pernah sama sekali memperkecil apatah lagi menghina anggota keselamatan kita yang terlah berjuang bermati-matian untuk menjaga kedaulatan negara daripada penceroboh,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, video yang tular itu seharusnya dimainkan sepenuhnya dan tidak hanya merujuk kepada pencerobohan di Lahad Datu semata-mata.

Mohamaddin, calon Warisan bagi kerusi DUN Segama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, bagaimanapun memohon maaf kepada anggota keselamatan. 

“Saya ingin memohon maaf sekiranya video yang ditularkan dengan niat jahat tersebut mengguris hati anggota-anggota keselamatan keseluruhannya.”

Dalam video ceramah kempen sepanjang 30 minit itu, Mohamaddin dilaporkan mendakwa pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu adalah sandiwara. 

Kenyataan Mohamaddin dalam video tersebut mendapat kecaman menteri-menteri Perikatan Nasional iaitu Ismail Sabri Yaakob dan Mohamed Azmin Ali, serta bekas menteri luar Anifah Aman.

Seramai 235 pengganas dari Pulau Simunul, Filipina mendarat di Sabah d semasa pencerobohan di Tanduo pada 2013. Pertempuran menyebabkan 56 terbunuh dan mengorbankan 10 anggota keselamatan. – 21 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen