Buruh asing kurang, Sarawak terjejas


Desmond Davidson

Industri minyak kelapa sawit di Sarawak adalah penyumbang utama pendapatan negeri selain kerajaan persekutuan dalam bentuk cukai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2020.

DUA sektor ekonomi Sarawak yang sangat bergantung pada buruh warga asing – peladangan kelapa sawit dan pembinaan – dilaporkan merosot sejak larangan kemasukan dikuatkuasakan Putrajaya pada 7 September, terhadap 23 negara.

Larangan itu dikenakan terhadap negara yang merekodkan lebih 150,000 kes jangkitan Covid-19 dan salah satu negara dalam senarai itu, Indonesia adalah satu-satunya sumber pekerja warga asing yang dibenarkan bekerja di Sarawak.

Industri minyak kelapa sawit di Sarawak adalah penyumbang utama pendapatan negeri selain kerajaan persekutuan dalam bentuk cukai dan pendapatan lain diperoleh daripada industri itu menerusi eksport minyak sawit mentah (CPO).

Pada masa ini, ladang kelapa sawit mencecah 1.7 juta hektar – kawasan tanaman tunggal terbesar di Malaysia.

Sementara Persatuan Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) belum menjawab soalan The Malaysian Insight berkenaan kesan larangan itu, kenyataan di laman webnya menyatakan industri minyak kelapa sawit di negeri itu berdepan masalah “kekurangan pekerja yang kritikal”.

Persatuan itu berkata sebelum pandemik Covid-19 berlaku pun, perladangan di negeri itu sudah berdepan masalah kekurangan pekerja.

Kekurangan itu dianggarkan lebih 45,000, kata persatuan itu, kini menjadi krisis lebih teruk sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Ia berkata tiada pekerja baharu warga Indonesia, khususnya penuai dan pekerja am untuk kerja dipanggil 3D – kotor, bahaya dan sukar – di mana pekerja tempatan tidak mahu pekerjaan itu, yang dibenarkan masuk ke negara ini.

Sementara itu, pekerja Indonesia yang tamat kontrak sudah pun pulang ke negara asal.

Menambah masalah itu ialah populasi negeri hanya 2 juta – kecil dan industri itu termasuk bersaing dengan sektor lebih menarik, untuk mendapatkan pekerja.

Bagi SOPPOA, industri minyak sawit  di Sarawak terus-terusan berdepan cabaran.

Dengan kekurangan pekerja yang teruk, persatuan itu meramalkan industri akan mengalami kerugian akibat tanaman tidak dituai dan kemudian mengurangkan penghasilan CPO, yang menjadi talian hayat untuk industri itu.

“Ia semakin teruk dan tidak tertanggung lagi dengan jumlah buah tidak dituai, kemudian rosak dan terpaksa dibuang.

“Keadaan ladang menjadi teruk dan penanaman semula pokok sawit tua tertangguh kerana tidak cukup pekerja,” katanya.

Sementara SOPPOA melihat masa depan agak suram, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (Sheda) meramalkan sebaliknya dan agak optimis dalam industri pembinaan perumahan.

Pengerusi Sheda cawangan Kuching Sim Kiang Chiok berkata pemaju hartanah dan kontraktor mereka terpaksa menyesuaikan dan menggunakan sumber tenaga yang ada.

Sim berkata sektor hartanah, sama seperti industri lain yang bergantung kepada pekerja warga Indoensia, perlu menggunakan masa ini untuk mengautomasikan sebahagian kerja mereka.

“Kini masanya untuk industri ini jadi lebih automasi. Kita naik taraf.

“Biar mesin buat lebih banyak kerja dan kurang gunakan tenaga manusia,” katanya.

Dianggarkan terdapat 138,183 pekerja warga asing di Sarawak. – 22 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen