Masuk paruh kedua kempen, belum juga ada petunjuk jelas di Sabah


Sheridan Mahavera

Penyertaan parti alternatif yang diterajui tokoh berpengaruh memberikan cabaran kepada pakatan Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah untuk meneka undi pihak mana yang akan pecah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 21 September, 2020.

DUA gabungan politik terbesar yang bertanding dalam pilihan raya negeri Sabah mempunyai peluang seimbang untuk menang ketika tempoh kempen yang melepasi paruh pertama menunjukkan mereka sama-sama ada kekuatan dan kelemahan yang sama rata.

Pada masa sama, penyertaan parti alternatif yang diterajui tokoh berpengaruh memberikan cabaran kepada pakatan Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah untuk meneka undi pihak mana yang akan pecah.

Warisan Plus terdiri daripada Parti Warisan Sabah, PKR, DAP dan Upko manakala GRS merupakan kerjasama longgar Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam pilihan raya ini.

Selepas sembilan hari kempen dibuka secara rasmi, pilihan yang diberikan kepada rakyat Sabah adalah seperti berikut:

* sama ada memberi peluang kepada Warisan Plus untuk melengkapkan mandatnya walaupun prestasi khidmat yang naik turun, atau

* memberikan mandat kepada GRS, yang diterajui dari Semenanjung, untuk menimbunkan dana pembangunan yang sangat diperlukan yang akan meningkatkan ekonomi setempat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, atau

* meninggalkan dua pakatan ini sebaliknya memilik parti yang dipimpin oleh Anifah Aman, Pandikar Amin Mulia, dan Chong Ka Kiat.

Warisan Plus dan GRS juga meningkatkan retorik perkauman antara satu sama lain untuk meraih undi dalam persaingan banyak penjuru di semua 73 kawasan pilihan raya.

Naratif ini diulang-ulang dalam perbualan The Malaysian Insight dengan 25 pengundi di sepanjang wilayah Pantai Barat Sabah, dari Tempasuk ke Inanam membawa ke Kuala Penyu.

Majoriti pengundi ini tidak puas hati dengan pentadbiran Warisan Plus selama dua setengah tahun lalu. Mereka merujuk pada bantuan yang tidak sekata dan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan yang lemah.

“Kedua-dua pakatan saling mengimbangi dengan kekuatan dan kelemahan masing-masing,” kata ahli sains politik Dr Mazlan Ali yang menjelajah Sabah untuk membuat tinjauan menjelang pilihan raya pada 26 September.

“Oleh sebab kedua-duanya seimbang, kempen mereka dalam lima hari akan datang sehingga hari pengundian akan menentukan siapa yang ada kelebihan,” kata pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia.

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal semasa berkempen sempena PRN Sabah di Kota Belud, Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 21 September, 2020.

Muhyiddin lawan Shafie

Sikap Lei Shiong, seorang pengundi di Tambunan, terhadap Warisan Plus dan GRS menunjukkan kekuatan dan kelemahan kedua-dua pakatan ini. Beliau membandingkan bagaimana mereka memberi khidmat terutama ketika pandemik Covid-19.

“Warisan okay tetapi bantuan Covid-19 tak datang. Bantuan yang kita dapat hanya daripada (perdana menteri) Muhyiddin Yassin. Jadi mungkin kita akan undi Perikatan,” kata pengundi berumur 29 tahun dari Kampung Meilot itu.

Muhyiddin, yang popularitinya di seluruh negara mencecah hampir 70%, adalah senjata utama Perikatan dalam kempen mereka untuk GRS.

Papan iklan dan poster Muhyiddin, yang diberi nama julukan “Abah”, ditegakkan di serata Sabah terutama di 29 kawasan pilihan raya yang ditandingi oleh parti itu.

Muhyiddin Yassin yang popularitinya di seluruh negara mencecah hampir 70%, adalah senjata utama Perikatan dalam kempen mereka untuk GRS. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 September, 2020.

“Perikatan berharap tempias daripada populariti Muhyiddin dan mengimbangi calon ketua menteri mereka yang tidak begitu kuat dan berwibawa,” kata Mazlan.

Kekuatan Warisan Plus sebaliknya pula ialah Mohd Shafie Apdal. Menurut kajian badan penyelidik tempatan SEEDS, Shafie mengatasi semua pemimpin tempatan dari GRS.

Ini termasuk ketua BN Sabah Bung Moktar Radin, bekas ketua menteri Musa Aman, dan pemimpin Perikatan Sabah Hajiji Mohd Noor.

Kaji selidik SEEDS dalam kalangan 2,350 responden menunjukkan Shafie mendapat 39% undi, sementara Musa 15% manakala Bung dan Hajiji masing-masing 11%.

Namun Warisan Plus berdepan dakwaan berlaku tidak adil dan memilih dalam mengagihkan bantuan Covid-19 sebanyak RM300.

Penduduk Kuala Penyu Suraya Rahman berkata beliau bukan saja tidak menerima bantuan berkenaan, malah pihak berkuasa tempatan semasa pentadbiran Warisan pun tidak memberi bantuan ketika rumahnya dilanda banjir.

“Mereka hanya datang dan tengok. Selepas itu mereka pergi dan saya tidak dengar apa-apa pun daripada mereka. Mereka bukan macam BN yang sebelum ini menolong apabila ada banjir,” kata penjual kuih berumur 51 tahun.

Seorang lagi penduduk iaitu pemilik restoran William Joe bagaimanapun menerima alasan Warisan Plus ketika menjelaskan kekurangan pentadbiran mereka.

“Tidak boleh buat rumah dalam dua rumah, sama macam tidak boleh buat rancangan untuk negeri dalam masa dua tahun,” katanya.

“Warisan dirompak peluangnya untuk berkhidmat. Saya percaya mereka patut dapat peluang kedua.”

Memilih tokoh

Walaupun dengan jentera yang besar dan kemampuan untuk menggunakan dana persekutuan bagi mendapatkan sokongan, BN dan Perikatan Sabah boleh terjejas dengan perbalahan dalaman antara sekutu mereka.

Komponen BN Sabah iaitu Umno, MCA, dan PBRS bersaing antara sekutu mereka dalam Perikatan iaitu Star, dan sekutu di luar iaitu PBS, di 18 kerusi.

Perpecahan undi dalam kalangan parti pembangkang ini akan menguntungkan Warisan Plus, kata Mazlan.

Pemimpin veteran Umno seperti Najib Razak mengakui keadaan ini dan menggesa jurukempen memastikan semua undi yang menentang Warisan akan sampai kepada BN.

Ketika kedua-dua pakatan Warisan Plus dan GRS hampir seimbang dan kerajaan Warisan dan BN sebelum ini hanya dipisahkan majoriti kerusi yang kecil, keputusan di 18 kerusi ini boleh jadi penentu.

Kehadiran parti tempatan lain yang menonjolkan diri sebagai pilihan yang satu lagi seperti Parti Cinta Sabah, Parti Liberal Demokratik dan USNO turut menjadikan keadaan tidak menentu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 21 September, 2020.

Kehadiran parti tempatan lain yang menonjolkan diri sebagai pilihan yang satu lagi seperti Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP), dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) turut menjadikan keadaan tidak menentu, kata Mazlan.

Parti-parti ini diketuai oleh tokoh politik di Sabah seperti bekas menteri kabinet Anifah dan bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar, yang keluarga mereka cukup berpengaruh.

“Pandikar, misalnya, dianggap wira dalam kalangan masyarakat Bajau Iranun, yang merupakan majoriti Bumiputera di kawasan Pintasan yang ditandinginya,” kata Mazlan.

Dek kemiskinan dan keadaan ekonomi negeri yang mundur, politik Sabah masih dicorakkan oleh etnik dan pembangunan. Dalam keadaan itu, tokoh yang dapat memberi khidmat, bantuan dan yang mudah didekati akan ada kelebihan.

Malah kajian SEEDS mendapati 49% responden sebelum ini mengundi atas calon dan personaliti.

“Jadi walaupun dari parti kecil, orang seperti Pandikar akan ada kelebihan besar berbanding parti besar seperti Warisan Plus atau BN yang calonnya dikenali oleh penduduk setempat,” katanya.

“Itu sebabnya pertandingan di Sabah ini masih 50-50 antara Warisan dan GRS. Belum ada pemenang yang jelas.” – 21 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen