Muzik London rancak diadakan secara 'bawah tanah'


Acara "Lockdown Town" dijangka bermula 2 Oktober ini dan menyaksikan pertunjukan secara penjarakan sosial dengan mengetengahkan muzik Amerika dari tahun 1920-an hingga 1950-an di beberapa kawasan sekitar stesen Waterloo. – Gambar AFP, 20 September, 2020.

SEKTOR muzik di London sedang bangkit semula dengan cara tersendiri selepas ditutup akibat penangan Covid-19 dengan mengadakan beberapa pertunjukan secara bawah tanah, dan berubah dari satu tempat ke tempat lain.

Acara “Lockdown Town” dijangka bermula 2 Oktober ini dan menyaksikan pertunjukan secara penjarakan sosial dengan mengetengahkan muzik Amerika dari tahun 1920-an hingga 1950-an di beberapa kawasan sekitar stesen Waterloo.

Suhu badan penonton akan diperiksa sebelum persembahan, dan lokasi juga berubah dari satu tempat ke tempat lain, selain persembahan hanya akan berlangsung tidak lebih dari 15 minit di setiap satu tempat.

Jumlah maksimum penonton hanya 360 untuk setiap malam, jauh daripada kapasiti biasa iaitu 500-700 orang sebelum Covid-19.

“Kami telah membuat model yang sangat fleksibel,” kata pengarah Lockdown Town, Kerri McLean, sambil menambah kelicikan minda adalah kunci melancarkan acara ini.

“Kami cuma potongan kecil dalam ‘puzzle’ besar tetapi itu cukup untuk buat kami terasa yang kami banyak memberi peluang dan semangat kepada mereka yang berbakat yang sudah tujuh bulan tidak membuat persembahan.”

Penganjur berharap dapat menambahkan lagi pemuzik, bersama acara itu digambarkan sebagai “pengalaman mendalam” yang selamat dari Covid-19 di London.

Tukang kayu, jurutera bunyi dan pemuzik sibuk minggu ini menyiapkan ruang seluas 2,800 meter persegi yang pernah dijadikan tempat letak kereta sebelum ini.

Kegiatan ini sangat berbeza dengan pemandangan di kebanyakan teater dan tempat malam di pusat bandar London, yang ditutup pada akhir Mac.

Kerajaan telah membenarkan tempat dibuka semula sebahagiannya tetapi banyak tempat malam, terutama teater lama, ditutup kerana peraturan sosial yang ketat. – AFP, 20 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen