Kisah jutawan memilih hidup tanpa harta


Zainal Rashid Ahmad

PALING sukar ditemui sekarang ialah dermawan yang sanggup melepaskan segala kekayaan yang dikumpulkan selama empat dekad.

Apalagi kekayaan yang dibina melalui hasil kerja yang memenatkan serta nilainya “tak habis makan tujuh keturunan”.

Ketika begitu banyak penyangak politik dan korporat muncul dan menyapu segala macam harta negara dan rakyat, kita renung sejenak kisah menarik.

Kisah bilionaire yang melepaskan semua hartanya demi melunaskan tanggung jawab kemanusiaan.

Charles Francis “Chuck” Feeney menjadi simbol lelaki budiman terakhir dunia kerana sifat dermawannya. Malah, memiliki pandangan hidup yang luhur mengenai “kepentingan harta dibelanjakan pada jalan kemanusiaan”.

Sebagai pengasas dan pemilik syarikat beli-belah dalam talian Duty Free Shoppers, Chuck Feeney meninggalkan sejarah yang panjang mengenai “bagaimana manusia melihat kekayaan bukan bersifat kepentingan dunia dan milik peribadi”.

Dilahirkan pada 23 April 1931 di New Jersey sebagai lelaki Amerika Syarikat (AS) berdarah Irish, Chuck Feeney mengasaskan Atlantic Philanthropies – yayasan milik peribadi yang terbesar di dunia.

Chuck Feeney melengkapkan perjalanan kerja amal dengan jumlah dermakan RM32 bilion sepanjang empat dekad menjalankan pelbagai projek kemanusiaan.

Antara projek mutakhirnya sebelum ini ialah membiayai sebanyak RM1.48 bilion bagi meneruskan projek keamanan di Ireland Utara. Dana yang sama bagi digunakan projek meningkatkan akses rawatan kesihatan kepada rakyat miskin di Vietnam.

Sebelum ini selama 38 tahun, Chuck Feenney menggerakkan Atlantic Pholanthropies dalam usaha mewujudkan hub perniagaan digital di Roosevelt City, New York.

Agensi Forbes melaporkan selama empat dekad, Chuck Feeney telah mendermakan RM15 bilion bagi projek pendidikan, RM3.5 bilion bagi meningkatkan amalan hak asasi dan RM250 juta bagi kempen menghapuskan amalan hukuman mati di AS.

Chuck Feeney juga menyumbangkan RM310 juta kepada projek kesihatan Obamacare untuk membantu rawatan kesihatan percuma kepada warga AS berpendapatan rendah.

Ketika dilawati wartawan Forbes berdekatan AT&T Park, Chuck Feeney hanya tinggal di rumah biasa dengan keperluan perabot seadanya.

Pada usia 89 tahun, Chuck Feeney melepaskan semua kekayaan hidupnya demi meningkatkan kualiti pendidikan, kesedaran hak asasi, mengukuhkan projek hub digital dan perjuangan keamaman sosial.

“Saya sangat percaya pada memberikan kemewahan kepada kerja amal ketika kita memilikinya sewaktu masih hidup.

“Dana demi kemanusiaan tidak wajar didermakan setelah kita tiada. Saya tidak mahu menangguhkan pelaksanaan kemanusiaan,” katanya kepada wartawan Forbes.

Itu kehebatan sikap Chuck Feeney yang selama 40 tahun hidup sebagai dermawan yang tidak mahukan perhatian media.

Namanya hanya dikenali awam apabila bilionaire Bill Gates dan Warren Buffet mendedahkan mengenai “wujudnya dermawan mentor bernama Chuck Feeney”.

Wartawan Forbes jug hanya berjaya menemubual Feeney ketika dia sudah melepaskan semua kekayaannya dan menghabiskan hari tua bersama isterinya, Helga Feeney.

Semua lima anak Chuck Feeney hanya mewarisi kekayaan “sekadarnya” yang diberikan bapa mereka.

“Saya banyak belajar mengenai pentingnya melakukan kebaikan walaupun dengan cara berbeza. Saya gembira kerana banyak projek yayasan dapat diselesaikan ketika saya mengendalikannya,”  katanya.

Chuck Feeney juga berterima kasih pada semua aktivis yang membantunya dalam misi “menderma dan beramal ketika masih hidup”.

Chuck Feeney turut mendedahkan mengenai dana persaraan kepada isterinya sebanyak RM8 juta.

Digelar Forbes sebagai “James Bond of Philanthropy”, Chuck Feeney kini tinggal di apartmen kecil di San Francisco.

Benarlah kata Warren Buffett: “Chuck Feeney adalah model teladan dan hero bagi kita semua.” – 20 September, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen