Parti kecil main peranan penting dalam PRN Sabah, kata penganalisis


Tan Yih Pey

Sukarelawan menaikkan bendera parti di Menumbok Kuala Penyu, Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 September, 2020.

PARTI-PARTI lebih kecil akan menentukan siapa yang akan memenangi Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah minggu depan walaupun pilihan raya itu dilihat seolah-olah pertandingan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan Plus, kata penganalisis.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa parti-parti kecil yang berpangkalan di Sabah ini akan memainkan peranan penting sebagai penentu dalam pilihan raya negeri.

Dr Oh Ei Sun, felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata hakikatnya kedua-dua parti GRS dan Warisan Plus juga sedang berdepan masalah dalaman yang boleh merumitkan lagi masalah.

Beliau berkata ketegangan antara dua parti utama - Umno dan Bersatu - pada calon ketua menteri masing-masing sangat jelas.

“Umno dipimpin oleh Bung Mokhtar Radin sementara Bersatu dipimpin oleh Hajiji Noor. Ketua menteri baharu akan diputuskan berdasarkan parti mana yang mempunyai lebih banyak kerusi,” katanya.

Beliau menambah bahawa kedua-dua pihak bertelagah dan tidak mahu pihak lain menang besar.

“Pertarungan dalaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) juga makin jelas. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga tidak mahu Umno menang besar kerana ini akan melemahkan kedudukannya.

“Umno juga mungkin menunggu kesempatan ini untuk meminta pilihan raya umum baharu.

“Umno juga tidak mahu melihat Bersatu menang kerana ini akan mengukuhkan lagi kepimpinan Muhyiddin dan Bersatu,” katanya.

Sementara itu di kem Warisan Plus, Oh berkata isu calon perdana menteri Pakatan Harapan-Warisan tetap menjadi isu sensitif.

Beliau berkata bahawa jika Warisan yang dipimpin oleh Mohd Shafie Apdal memenangi pilihan raya negeri, maka PH dapat menggunakannya sebagai alasan untuk mencalonkannya sebagai perdana menteri dan bukannya presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar mungkin tidak mahu Warisan menang dengan alasan ini.

Penganalisis Sabah Esther Sinirisan Chong yang juga ahli Agora Society Malaysia bersetuju dengan Oh.

Beliau berkata terdapat banyak parti kecil yang bertanding dalam pilihan raya negeri dan sokongan mereka akan menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan seterusnya.

Sebagai contoh Gabungan Parti Sarawak yang memenangi 18 kerusi pada pilihan raya lalu akan mempunyai kuasa tawar-menawar dengan kedua-dua kubu itu sekiranya dapat memenangi lebih dari 18 kerusi kali ini.

Chong berkata kerusi yang dimenangi oleh parti-parti kecil sangat penting dalam menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan seterusnya. Itu bergantung pada apakah ada perubahan dalam pakatan.

“Sekiranya parti-parti politik tempatan menukar pakatan mereka, maka ia menunjukkan bahawa suara rakyat tidak lagi bermakna untuk menentukan siapa yang akan berkuasa,” katanya.

Barisan Nasional (BN) bertanding untuk 41 kerusi dalam pilihan raya negeri sementara PN bertanding di 29 kerusi sementara Parti Bersatu Sabah (PBS) bertanding untuk 22 kerusi.

Walaupun mereka bertanding antara satu sama lain dalam 17 kerusi, ketiga-tiganya bersatu di bawah pakatan GRS.

Parti lain dalam pakatan GRS ini adalah Star yang bertanding di lima kerusi sementara Parti Rakyat Sabah Bersatu akan bertanding untuk empat kerusi.

Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, parti komponen PH dan Upko United akan bertanding bersama untuk 73 kerusi.

Parti PH Sabah dan PKR Sabah masing-masing bertanding untuk 7 kerusi sementara Amanah hanya akan bertanding untuk satu kerusi.

Upko dan PKR akan menggunakan logo mereka sendiri sementara DAP serta Amanah akan bertanding di bawah logo Warisan. – 20 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen