Usah tunggu populariti Muhyiddin jatuh, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis Alfian Z.M. Tahir

Penganalis berkata populariti Muhyiddin akan merosot apabila beban ekonomi semakin dirasai sebaik moratorium bayaran pinjaman bank tamat pada bulan ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 September, 2020.

MUHYIDDIN Yassin perlu segera mengadakan pilihan raya umum dan tidak menunggu sehingga hilang populariti sebagai perdana menteri, kata penganalisis.

Ini kerana, populariti Muhyiddin itu akan merosot apabila beban ekonomi semakin dirasai sebaik moratorium bayaran pinjaman bank tamat pada bulan ini.

Oleh itu, kenyataan Muhyiddin semalam untuk mengadakan pilihan raya berdasarkan kejayaan dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah hanya bertujuan memancing sokongan, kata penganalisis ini.

Pengkaji Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berpendapat Muhyiddin tidak dapat mengelak daripada mengadakan pilihan raya awal kerana menyedari perkara itu.

“Tapi saya jangka menang atau kalah (PRN Sabah) beliau perlu segerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Sekarang ini beliau bergantung pada populariti ‘Abah’ untuk menang di Sabah.

“Apa juga keputusan, beliau harus segerakan sebelum populariti beliau jatuh, kita tahu akhir bulan ni moratarium akan tamat dan rakyat akan tahu realiti sebenar.

“Ekonomi dunia juga tidak stabil. Sebelum populariti beliau jatuh beliau perlu segerakan PRU15,” kata Awang Azman.

Kataya kenyataan Muhyiddin semalam yang memberi bayangan PRU15 akan diadakan lebih awal sekiranya mereka menang PRN Sabah itu satu dorongan untuk berkempen dengan lebih kuat.

“Mesej yang ingin disampaikan adalah supaya Barisan Nasional (BN) terutama Umno kerja lebih keras dan kuat untuk Perikatan Nasional (PN) menang PRN Sabah, kemudian baru boleh teruskan untuk pilihan raya umum.

“Ia juga agar BN dan PN bersatu hati untuk menang di Sabah menghadapai musuh sebenar iaitu Warisan Plus,” katanya.

Pandangan sama dinyatakan Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar yang melihat Muhyiddin cuba beri tekanan kepada BN untuk bersama PN.

“Mesej beliau untuk beri maklumat sekiranya menang di Sabah, kepimpinan beliau kuat dan mudah untuk buat pilihan raya mengejut.

“Ia juga satu tekanan yang jelas untuk BN, dengan mood dan popolariti beliau dalam PN agar BN kembali bersama PN,” katanya.

Tambahnya, sekiranya PN tewas, kesan turut dapat dirasai dalam PRU15 kerana ia menunjukkan strategi pembahagian kerusi mereka gagal.

“Jika kalah, ini menunjukkan mereka gagal dalam pembahagian kerusi.

“Makin lama beliau tangguhkan pilihan raya, tidak elok, populariti beliau akan merosot,” kata Hisomuddin.

Pensyarah dari Universiti Utara Malaysia Azizuddin Sani juga berpendapat, gabungan parti kerajaan di peringkat persekutuan itu akan semakin bersemangat jika GRS menang PRN Sabah.

“Jika menang ada peluang yang baik untuk PRU sebab PRN Sabah juga dilihat sebagai indikator bagi PRU15.

“Mungkin BN dilihat tak mahu sertai PN, sedangkan untuk bentuk kerajaan mereka kena bergabung.

“Tak kisah kerajaan PN atau gabungan lain, apa bentuk pun kerjasama kena ada antara semua pihak,” kata Azizuddin.

Seorang lagi pengkaji melihat, populariti Muhyiddin kini dipacu oleh tindakan semasa menangani pandemik dan bantuan kepada rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohamad Tawfik berkata momentum yang ada harus dimanfaatkan Muhyiddin memandangkan sokongan kepada Muhyiddin dibentuk melalui program kebajikan rakyat sepanjang PKP.

“Pengumuman program-program tersebut dilihat seolah-olah bajet pilihan raya

“Maka satu kerugian besar ‘bajet pilihan raya’ sepanjang PKP tersebut tidak di ambil peluang untuk laksanakan pilihan raya umum.

Beliau juga menjangka PRN Sabah akan dimenangi parti sealiran kerajaan Persekutuan yang perlu membentuk gabungan dengan parti kecil lain untuk membentuk kerajaan di negeri itu.

“Momentum Sabah akan di bawa ke Semenanjung untuk diadakan pilihan raya umum segera bagi dapatkan mandat besar,” katanya. – 20 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen