Oscar, Finas, dan kemajuan seni filem Malaysia


Haris Hauzah

APABILA kita bercakap tentang filem dalam kerangka ekosistem dunia seni yang membangunkan negara dan bangsa, di manakah ukuran kemajuan yang seharusnya kita lihat lalu dapat berikan nilai agar ia tidak sekadar retorika politik seorang dua menteri?

Pernah pada suatu masa dulu, sewaktu aku masih rajin menghantar kertas-kertas cadangan ke stesen-stesen tivi, aku pernah dengar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia yang dipanggil orang Finas itu amat berminat dan sangat menggalakkan para pemain industri menghantar kertas cadangan permohonan geran untuk kisah yang diadaptasi daripada novel besar kesusasteraan tempatan.

Aku masih ingat Luqman Al Jafree seorang teman penulis skrip yang aku kenal. Dia sangat-sangat menyarankan aku dengan banyak sekali kata galakan.

Bersungguh-sungguh dia memberikan dorongan supaya aku lekas memilih satu karya novel sastera besar untuk ditukang menjadi idea yang boleh difilemkan.

Terngiang-ngiang suara Luqman di gegendang yang minta aku cepat siapkan idea untuk dihantar ke Finas sebagai helaian-helaian kertas cadangan.

Malangnya oleh kerana aku dah terlalu lelah dengan segala macam kertas kerja cadangan yang pernah aku usahakan, jadi aku hanya duduk diam tanpa berbuat apa-apa tindakan sepertimana apa yang Luqman sarankan.

Selepas beberapa tahun, Finas masih gah menjadi Finas – si pemberi geran. Aku jadi penulis gagalis yang berhenti sepenuhnya daripada menghantar idea ke mana-mana stesen tivi.

Sementara Luqman yang dah tak lagi aku hubungi masih bergelut mendapatkan “job” penulisan skrip. 

Namun ada sesuatu yang lebih menarik untuk kita sama-sama renungkan. Ternyata, memang tidak pernah ada mana-mana novel sastera besar tempatan pada tahun-tahun itu yang jadi box-office berhasil difilemkan Finas.

Beberapa tahun aku hidup dalam kegagalan menunggu entah barangkali ada Salina, Hujan Pagi, Rimba Harapan, Sakura Mengorak Kelopak, atau Tulang-Tulang Berserakan masuk panggung –  ternyata tak kesampaian.

Tidak pernah ada Nagogho Astana, Penyeberang Sempadan atau Mahabbah yang berhasil difilemkan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin dalam satu ucapan di Pasir Mas Kelantan pada 8 September lalu dipetik berkata: “Kita mahukan pengarah dan pelakon muda yang baharu untuk dapat diketengahkan untuk dapat menghasilkan filem dan drama melalui program ini.

“Kementerian akan membantu mereka untuk menghasilkan filem dan drama, yang kita mahukan ia mampu mendapat sambutan baik di luar negara.”

Program yang dimaksudkan timbalan menteri itu merujuk kepada cita-cita besar mereka yang di Finas dan kementerian iaitu “Road to Oscar” yang sedang mereka usahakan.

Timbalan menteri itu juga dipetik menginginkan lebih banyak filem dan drama yang memaparkan sejarah pejuang zaman Kesultanan Melayu dan kisah pejuang kemerdekaan dihasilkan demi melahirkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

Kenyataan ini tidak mengejutkan. Ia sama sekali tidak memeranjatkan aku, Luqman dan teman-teman pekerja filem yang mencari makan dalam industri kecil perfileman tempatan. 

Semua ini tak ubah sepertimana kisah-kisah beberapa tahun dulu ketika Finas pernah menggalakkan pengkarya untuk menghasilkan filem-filem adaptasi kesusasteraan.

Ada beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh timbalan menteri itu terlebih dulu, sebelum dia beriya-iya mahu merancakkan program “Road to Oscar” yang menurutnya bagi mengantarabangsakan filem tempatan.

Paling tidak ada tiga persoalan yang perlu dijawab: 

Pertama, mengapa Finas bersungguh benar mahu filem Malaysia ke Oscar? Trend menghasilkan filem dengan tujuan mendapatkan perhatian festival filem Amerika bernama Oscar agak sukar untuk difahami. Justeru manfaat besarnya harus terlebih dulu diperjelaskan.

Kedua, apakah yang Oscar dapat tawarkan kepada kemajuan filem serta kemajuan seluruh industri perfileman tempatan? Hal ini wajar ditanyakan kerana Oscar hanyalah satu pertandingan.

Ketiga, bagaimana perihal menang Oscar itu dapat memajukan warga industri para pekerja perfileman? Puluhan tahun profesion ini tetap jauh ketinggalan dalam banyak hal pengurusan dan pentadbiran yang bersangkut paut dengan akta dan perundangan pekerjaan.

Finas harus sedar akan fungsi mereka untuk membangun. Bidang tugas mereka bukan sekadar tabur duit dan bagi geran suruh pembikin filem buat filem ikut acuan yang menteri dan timbalan menteri mahu.

Fungsi pembangunan Finas tidak sewajarnya hanya bagi memenuhi tuntutan KPI menteri, tetapi kemajuan dari pembangunan itu seharusnya dapat dirasai oleh seluruh warga kerja filem, seluruh pemegang taruh industri serta seluruh rakyat yang mampu beroleh manfaat dari khazanah filem yang dihasilkan. 

Justeru pembangunan yang dibuat Finas harus menjurus masyarakat dan melibatkan rakyat.

Finas sejak hampir 40 tahun ditubuhkan, masih gagal memenuhi tiga perkara asas kepada pembangunan industri perfileman.

Pertama, membangunkan sebuah arkib perfileman yang bersistem dan terurus.

Kedua, melaksanakan inisiatif restorasi filem lama yang pernah negara ini keluarkan sebelum lebih banyak lagi filem bakal dimamah umur dan dimusnahi anai-anai.

Ketiga, memperkasakan panggung-panggung mini “arthouse cinema” sebagai alternatif kepada panggung mainstream yang terlalu kuat memonopoli apresiasi budaya sinema dan budaya filem tempatan. 

Hal itu jelas mengganggu pembangunan kelestarian jati diri cita rasa seni filem dan pengkayaan ekonomi bagi mewujudkan suatu struktur ekosistem industri perfileman yang lebih mapan.

Kalau Finas fikir pembangunan filem itu hanyalah bagi geran suruh pembikin bikin filem dan tolong dapatkan rumah daripada KPKT buat pekerja filem yang memang semuanya miskin dan tak mampu beli rumah, Finas memang masih jauh dari fungsi untuk memajukan.

Hampir 40 tahun mereka masih tidak tahu makna kemajuan. – 19 September, 2020.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen