Filipina tak berani tuntut Sabah semasa BN perintah, kata Najib


Sheridan Mahavera

Bekas perdana menteri Najib Razak menyelar kenyataan Mohd Shafie Apdal bahawa kerajaan Malaysia dan Filipina perlu berunding berhubung tuntutan ke atas Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 September, 2020.

KERAJAAN Filipina tidak pernah membangkitkan isu tuntutan ke atas Sabah semasa kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN), kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Beliau menyelar kenyataan ketua menteri sementara Mohd Shafie Apdal bahawa kerajaan Malaysia dan Filipina perlu berunding berhubung tuntutan itu.

Bagaimanapun, laporan akhbar pada Januari 2018 mendedahkan isu status Sabah dibangkitkan ketika Najib dan BN berkuasa di peringkat persekutuan dan negeri.

“Sebab dia (Filipina) hormat pada kita. Mungkin mereka takut pada kita. 

“Zaman BN, masalah Filipina kita bantu. Mereka berperang dengan Moro kita bantu,” kata Najib, merujuk yang terlibat dalam penyelesaian pertikaian antara Manila dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Putrajaya menegaskan tidak akan melayan sebarang rundingan dengan Filipina berkenaan tuntutan ke atas Sabah.

“Satu perkara yang tidak lagi dipertaikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dah iktiraf bahawa Sabah sebahagian daripada Malaysia, kerana pilihan Sabah berada dalam Malaysia dibuat pada 1962.

“Kenapa hari ini nak bangkit? Saya hairan kenapa orang Sabah sendiri bangkit perkara ini?” katanya pada ceramah di Tanjung Aru malam tadi.

Menurut Najib lagi, selain menguruskan negara dengan baik BN berjaya menjadikan Malaysia dipandang sebagai negara yang kuat.

“Di bawah BN, kedudukan Sabah, kedaulatan Sabah tidak boleh dirundingkan. Kalau siapa nak pertikaikan Sabah, langkah mayat kita dulu.” – 19 September, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen