Penganalisis jangka Belanjawan 2021 bersifat pengembangan


Ragananthini Vethasalam

Kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan defisit fiskal negara antara 5.8% hingga 6%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2020.

PENGANALISIS ekonomi menjangkakan belanjawan 2021 akan menjadi belanjawan pengembangan, ketika kerajaan Muhyiddin Yassin cuba merancakkan semula ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan membentangkan belanjawan pertamanya pada 6 November, selepas Pakatan Harapan tumbang pada akhir Februari lalu.

Putrajaya setakat ini telah membelanjakan RM290 bilion menerusi pakej rangsangan ekonomi Prihatin dan Penjana, dengan sasaran meningkatkan defisit fiskal negara antara 5.8% hingga 6%.

Tidak pasti apakah Putrajaya akan berbelanja lebih untuk memacu pertumbuhan ekonomi menerusi belanjawan pengembangan, atau akan mengurangkan perbelanjaan dan mengambil langkah berhemat.

Namun, penganalisis memberitahu The Malaysian Insight, mereka menjangkakan Belanjawan 2021 akan bersifat pengembangan.

“Kami mengjangkakan Belanjawan akan menjadi belanjawan pengembangan untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara, memandangkan ekonomi dunia masih lagi bergelut dengan kesan pandemik Covid-19,” kata Penganalisis Ekonomi MIDF Research Abdul Muizz Morhalim.

Dalam Belanjawan 2021 katanya lebih banyak program bantuan dan sokongan juga dijangka diumumkan untuk sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan perlindungan sosial, beberapa program mungkin akan diwujudkan untuk membantu mereka yang berada dalam golongan paling rentan seperti pekerja dalam sektor tidak formal dan yang bekerja sendiri,” kata Abdul Muizz.

Putrajaya juga dijangka akan mengutamakan perbelanjaan ke atas bidang yang mempunyai kesan pengganda tinggi dalam ekonomi seperti pendidikan, teknologi dan kesalinghubungan.

Selain itu, pelan infrastruktur dan pembangunan yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 mungkin akan diteruskan, katanya.

Felo Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Shankaran Nambiar berkata kekurangan sumber pertumbuhan ekonomi dari sektor luaran akibat perkembangan global mungkin akan menyebabkan Putrajaya mengambil langkah belanjawan bersifat pengembangan.

Kerajaan katanya akan mendapati perlunya untuk merancakkan ekonomi domestik memandangkan negara lain di seluruh dunia juga bergelut dengan kesan Covid-19 terhadap ekonomi.

“Ramalan ekonomi bagi tahun ini lemah dan mungkin akan berpanjangan sehingga tahun depan.

“Walaupun ada sedikit peningkatan pada perdagangan dan pelaburan global, namun ramalan kebanyakan institusi antarabangsa untuk 2021 suram, dan ada yang meramalkan penyusutan dua angka.

“Kebanyakan rakan dagang kita, kecuali China, dijangka akan mengalami kadar pertumbuhan perlahan tahun depan,” kata Nambiar.

Mengawal defisit fiskal

Abdul Muizz juga menjangkakan kerajaan akan menghuraikan pelan jangka sederhananya untuk memperbaiki kedudukan fiskal , kerana Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz sebelum ini berkata Putrajaya komited untuk menurunkan defisit fiskal kepada kurang 4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Defisit fiskal negara dijangka meningkat kepada antara 5.8% hingga 6% daripada KDNK tahun ini, berikutan pelaksanaan pakej rangsangan Penjana dan Prihatin.

Oleh itu, Putrajaya mungkin perlu menimbangkan langkah-langkah untuk meluaskan sumber pendapatan kerajaan dan mengurangkan perbelanjaan langsung kewangan dengan menggalakkan perkongsian awam-swasta (PPP) bagi rancangan pembangunan baharu, kata Muizz. – 19 September, 2020.

Berita penuh di sini.                


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen