Isu kaum dalam PRN Sabah bagai api dalam sekam


Sheridan Mahavera Hasnoor Hussain

Sabah kini perlu membuktikan dakwaan mereka adalah model terbaik kehidupan bermasyarakat dan kesejahteraan agama, dengan menolak politik perkauman pada 26 September ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 September, 2020.

ORANG Sabah suka benar mendabik dada yang negeri itu adalah model kehidupan bermasyarakat dan kesejahteraan agama yang perlu diteladani orang Semenanjung.

Namun Pilihan Raya Negeri Sabah mendedahkan isu kaum dan xenofobia yang membara bagai api dalam sekam di negeri itu.

Sentimen ini dieksploitasi dua blok politik terbesar yang sedang bertarung merebut kuasa pentadbiran negeri- Warisan Plus dan Barisan Nasional Sabah-Perikatan Nasional- PBS.

Dalam kempennya, Warisan Plus menyifatkan parti dan politikus dari Semenanjung sebagai “penjajah” yang mahu mengawal semua perkara daripada calon ketua menteri sehinggalah bagaimana dana negeri dibelanjakan.

“Jangan benarkan kita dijajah oleh orang luar. Kita mahu orang Sabah berdiri sama taraf dengan semua rakyat Malaysia,” kata calon Warisan Plus untuk Tempasuk, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud.

Di satu pihak lagi, BN Sabah-PN-PBS pula berkata undi untuk Warisan adalah undi untuk Suluk Filipina yang akan membanjiri negeri itu, merampas kerja dan perniagaan daripada warga Sabah.

Suluk adalah suku kaum yang tertumpu di perairan timur Sabah, terutama di Semporna, tempat asal ketua menteri sementara daripada Warisan, Mohd Shafie Apdal.

Kecurigaan kepada komuniti itu memuncak selepas pencerobohan Lahad Datu pada Februari 2013 oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang mendakwa datang dari Kesultanan Sulu.

Pakar berkata sentimen perkauman memang sentiasa wujud di Sabah, ia adalah cerminan rangkaian penaungan dan ekonomi yang kompleks terjalin antara 32 suku kaum di negeri itu. 

Rasa curiga dan ketakutan ini terdedah dalam wawancara dibuat The Malaysian Insight dengan beberapa penduduk Sabah yang menetap di sepanjang pantai baratnya.

Mohd Shafie Apdal kini berdepan cabaran tidak terjangka, menepis tuduhan yang beliau pro Suluk Filipina, isu yang boleh menjejaskan peluang beliau kembali jadi ketua menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 September, 2020.

Di Kuala Penyu, pemandu teksi Wan Aziz Muhamad,50, merugut tentang kerajaan Warisan yang dakwanya memihak kepada suku Suluk dalam aspek jawatan pentadbiran dan dana negeri sehingga meminggirkan suku lain.

“Kekuatan Warisan adalah Suluk Filipina. Pegawai daerah dan pembantu pegawai daerah Kuala Penyu pun dari Semporna.

Di Tuaran, kontraktor Mydin Sapai berkata orang Filipina yang mengawal penyeludupan rokok menjadi lebih berani ketika pentadbiran Warisan.

“Mereka jual rokok seludup terbuka di pasar. Kadang-kadang depan-depan pihak berkuasa tempatan,” kata Mydin, mengimbau kejadian yang pernah dilihatnya.

“Dia (penjual rokok orang Filipina) kata ‘satu hari nanti kami akan ambil alih Sabah dan kamu yang akan jual rokok seludup’, orang takut ini akan berlaku di bawah Shafie.”

Ketua Penerangan PN Azmin Ali juga nampaknya mengambil peluang memanipulasi ketakutan ini pada perhimpunan baru-baru ini di Tuaran, apabila beliau berkata: “Shafie kata dia mahu Sabah untuk orang Sabah tetapi kita semua tahu maksud dia adalah Sabah untuk Semporna.”

Wan Aziz Mohamad (kiri) mendakwa kerajaan Warisan Plus memihak kepada orang Suluk sehingga meminggirkan suku lain. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 September, 2020.

Politik api kebencian

Pakar politik ekonomi Sabah, Dr Firdausi Suffian berkata memang wujud kecurigaan antara suku kaum di Sabah, di pantai timur dan barat, malah antara suku dalam kaum yang sama.

“Misalnya orang Bajau di barat berbeza dengan Bajau di timur dan yang di barat kadang-kadang memperlekeh mereka yang di timur,” kata pensyarah Universiti Teknologi Mara itu.

“Kecurigaan ini adalah kerana perbezaan dalam komuniti dan kelas, ada suku yang lebih kaya kerana mereka tinggal berhampiran pusat bandar.

“Pada permukaannya wujud kesejahteraan masyarakat dan antara agama tetapi bila sampai soal politik ikatan ini boleh tergugat.”

“Dalam kes Shafie- yang merupakan orang Bajau, bukan Suluk- politik menyebabkan ketidakpercayaan diperbesarkan.

“Bila Shafie dalam BN, tidak ada orang bercakap tentang sukunya dan dari mana dia datang. Tidak ada orang menuduhnya jadi orang Filipina,” kata Firdausi.

Pensyarah UiTM Dr Firdausi Suffian berkata rasa curiga antara suku kaum di Sabah memang sudah lama wujud dan kewujudannya terasa dalam isu politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 18 September, 2020.

Isu orang Filipina adalah isu besar dalam komuniti Kadazandusun-Murut (KDM) Sabah yang sudah lama terkesan dengan migrasi orang Filipina dan Indonesia ke Sabah pada 1970-an, kejadian yang mengubah demografi negeri itu.

Pada Pilihan Raya Kecil Kimanis tahun lepas, BN Sabah memainkan ketakutan dalam kalangan KDM berkaitan isu ini untuk mengalahkan Warisan Plus.

Penduduk Tempasuk, Joharye Yading berkata label Suluk masih memberi kesan kepada pengundi berusia KDM yang masih tidak mengenali Warisan.

“Orang muda lebih sedar yang ini adalah taktik kempen untuk menakutkan mereka,” kata Joharye dari Kampung Rantai Rosok.

Warisan Plus bukan gabungan parti yang pro Suluk, ia parti pelbagai kaum, kata pegawai PKR. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 September, 2020.

Hassan Buniam aktivis Warisan Plus menegaskan yang gabungan itu dan parti dominannya, Parti Warisan Sabah, adalah parti pelbagai kaum dan ia terbukti apabila meletakkan calon pelbagai latar belakang daripada semua komuniti negeri itu pada pilihan raya. 

“Tuduhan yang kami adalah parti orang Suluk adalah untuk pecah dan perintah orang Sabah,” kata Hassan, pegawai PKR Kota Belud.

Tetapi, di kawasan perwakilan kubu kuat BN Sabah, agenda mengaitkan Suluk dengan Warisan juga tidak diterima dengan mudah.

Suraya Rahman misalnya, tidak berpuas hati dengan prestasi Warisan terutama dalam aspek pengagihan bantuan sepanjang wabak Covid-19 dan perkhidmatan kebajikan orang miskin.

Beliau bagaimanapun tidak terpedaya dengan propaganda bahawa Warisan adalah parti Suluk atau parti pro pendatang asing.

“Mereka bukan parti hanya untuk orang Suluk. Warisan dibentuk pelbagai kumpulan kaum. Tetapi, saya masih fikir mereka perlu ditukar kerana mereka tak tolong orang biasa macam saya.” – 19 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen