Artis Sabah guna hasil seni 'perangi' ahli politik tiada etika


Chan Kok Leong

Ahli Pangrok Sulap memeriksa karya seni mereka di Kota Kinabalu, Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 September, 2020.

SEEKOR gorila memakai kot sambil memegang pisang, cuba menenangkan sekumpulan haiwan yang sedang bertengkar dan di antaranya, seekor kera melemparkan kata-kata makian ke arah anjing yang sedang menyalak.

Di belakang kera pula terdapat seekor katak yang memegang kayu pancing sementara seekor katak sedang melompat.

Sementara itu, sekumpulan cimpanzi menutup mata, telinga dan mulut, ketika hutan di belakang mereka terbakar. 

“Tidakkan ini sama seperti Parlimen?” kata Rizo Leong mengenai karya seni di atas kanvas di lantai sebuah studio di Seppangar, Kota Kinabalu, Sabah.

Cetakan kayu itu adalah rekaan terbaharu Pangrok Sulap, kumpulan artis Sabah yang menggunakan seni untuk mengkritik dan memprotes kepincangan yang mereka lihat dalam politik hari ini.

“Ahli politik bertengkar, menjerit dan melompat sesuka hati sementara negara terbakar di latar belakang,” kata Leong, 36, pengasas Pangrok Sulap.

Karya terbaru, berjudul “ParLIARment”, dihasilkan oleh lapan artis Sabah. 

Ia memberi definisi kolektif kepada politik, lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihan raya negeri pada 26 September.

“Ini memerlukan dua minggu untuk menghasilkannya. Seminggu membuat konsep dan kemudian seminggu lagi untuk mengukirnya pada panel kayu.

“Selepas itu, kami mendapatkan orang untuk mencetak gambar pada kain atau kertas.”

Leong, yang mengikuti jurusan kejuruteraan awam, berkata itu adalah cara Pangrok Sulap melibatkan lebih banyak orang untuk mengambil bahagian dalam menghasilkan karya seni agar turut mempunyai rasa memiliki.

Rizo Leong berkata Pangrok Sulap bertujuan memberi kesedaran mengenai isu tempatan Sabah, isu alam sekitar dan kesedaran sosial. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 September, 2020.

“Contohnya di kampung, kami mengajak masyarakat setempat mengukir dan kemudian mencetaknya,” kata Leong.

Seni cetak kayu adalah teknik di mana gambar diukir di atas permukaan blok kayu.

Bahagian permukaan kemudian disapu dengan dakwat sebelum kain atau kanvas berasaskan kertas diletakkan di atasnya, dan imej dipindahkan atau “dicetak”.

Pangrok Sulap menghasilkan cetakan dengan meminta orang berdiri atau menari di atas kanvas.

Bermula di Ranau pada 2010, Pangrok Sulap juga termasuk pemuzik dan aktivis yang ingin membantu masyarakat tempatan di Sabah. 

Dalam bahasa slanga tempatan, “pangrok” merujuk pada punk rock, sementara “sulap” adalah perkataan Dusun bagi pondok.

Menurut Leong, karya seni mereka dipamerkan di galeri dan dijual.

Di antara pamerannya termasuk “Sunshower: Contemporary Art from South-East Asia 1980s to Now” di Tokyo 2017, “9 Pacific Asia Triennial of Contemporary Art” di Australia pada 2018 dan “Aichi Triennale” di Jepun pada 2019`.

“Kami menggunakan wang itu untuk membantu masyarakat setempat dengan mengadakan bengkel membuat barang seni lain atau membina pusat komuniti.”

Satu daripada projek terakhir mereka ialah membina pusat seni di Kampung Keiyip di Ranau.

Menurut Leong, Pangrok Sulap tidak dimulakan sebagai kempen kesedaran politik.

“Kami ingin memberi kesedaran mengenai isu tempatan Sabah, isu alam sekitar dan kesedaran sosial.”

Walaupun menggunakan media sosial secara kolektif untuk mempromosikan karya mereka, ia tidak menjalankan kempen mengumpul tandatangan atau demonstrasi seperti dilakukan aktivis lain.

Karya terbaharu Pangrok Sulap berjudul 'ParLIARment' yang menggambarkan ahli politik seperti haiwan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 18 September, 2020.

“Kami hanya mencipta seni, berkongsinya dan mengumpulkan wang untuk membantu masyarakat setempat,” kata Leon.

McFeddy Simon, seorang lagi artis yang membuat alat muzik tradisional Dusun-Murut, berkata Pangrok Sulap lebih berminat dengan “masalah rakyat”.

“Kami hanya ingin memberi kesedaran terhadap masalah alam sekitar dan terutamanya kerja dengan masyarakat,” kata lelaki berusia 31 tahun dari Ranau itu.

Kesemua isu ini adalah masalah asas eperti keadaan jalan yang buruk, sambungan internet, akses kepada pendidikan dan masalah ekonomi.

“Apabila anda melihatnya, bukankah semua masalah ini berkaitan dengan politik?” katanya.

Leong dan Simon tidak merancang keluar mengundi pada pilihan raya negeri pada Sabtu depan.

“Saya hilang minat dengan ahli politik. Setiap calon yang bertanding di kampung halaman saya (Ranau) berjanji akan memperbaiki jalan raya dan infrastruktur kami.

“Tetapi tiada apa yang dibuat. Mereka lompat, bersuara, berjanji tetapi tiada yang dibuat. Selepas terpilih, mereka hilang,” kata Leong.

Artis Tambunan, Adi Helmi juga tidak merancang untuk mengundi pada 26 September.

“Mereka hanya datang untuk Kaamatan ketika ada minum dan pesta. Tetapi tiada apa yang dibuat akhirnya.

“Calon sebelumnya Joseph Pairin Kitingan tidak pernah datang berkempen kerana beliau adalah Huguan-Siou (bahasa Kadazandusun yang bermaksud wira yang berani). Tetapi beliau masih menang dan hal yang sama juga dengan adiknya Jeffrey.”

Joseph adalah pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) dan kini menjadi penasihatnya, sementara Jeffrey penyandang kerusi Tambunan dan presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Simon menambah nampaknya tidak ada guna mengundi ahli politik jika mereka boleh lompat parti lain di kemudian hari. – 18 September, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen