SPRM rampas dokumen pejabat hutan, pejabat tanah Raub


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata siasatan ke atas pencerobohan tanah hutan simpan turut mencakupi aspek salah guna kuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2020.

AGENSI antirasuah merampas dokumen daripada Pejabat Hutan Daerah Raub serta pejabat tanah daerah untuk siasatan kes penerokaan tanah haram untuk dijadikan ladang durian di daerah itu.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kesemua dokumen itu sedang diteliti sebelum tindakan seterusnya dapat diambil.

Ketua pesuruhjayanya Azam Baki berkata siasatan ke atas pencerobohan tanah hutan simpan itu antaranya mencakupi aspek salah guna kuasa.

“Kami perlu mengkaji dokumen berkenaan kerana dakwaan itu harus dilihat daripada pelbagai sudut untuk melihat kemungkinan wujudnya elemen salah guna kuasa berhubung pencerobohan itu.

“Kita tidak boleh dengar dari sebelah pihak sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Azam, empat lagi individu dirakam kenyataan semalam, menjadikan 18 orang terlibat dalam siasatan dan lebih ramai lagi akan dipanggil.

“Mereka yang dipanggil ialah yang terbabit mengusahakan tanah di Raub itu untuk kita mendapatkan maklumat mengenai beberapa perkara,” katanya.

Siasatan itu meliputi penerokaan haram kawasan seluas 4,400 hektar Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Kawasan itu dibangunkan sebagai ladang durian haram sejak 40 tahun lalu yang menyebabkan kerajaan negeri kerugian hasil cukai sebanyak RM30 juta dalam tempoh 10 tahun.

Peneroka tanah haram tersebut mendapat sokongan NGO Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) untu mendapatkan geran ke atas tanah tersebut.

Samka yang antara lain digerakkan aktivis DAP memberi alasan peneroka tanah haram itu memberi keuntungan kepada negara dengan eksport durian Musang King sejak bertahun-tahun lamanya.

Musang King yang merupakan sejenis kacukan dari beberapa varieti tempatan menerima permintaan tinggi antaranya dari China.

Satu lagi pihak berkepentingan dalam kes ini adalah syarikat Royal Pahang Durian, satu syarikat usaha sama melibatkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang.

Peneroka tersebut kini berlaga dengan syarikat itu yang ditubuhkan bagi mengekang pembukaan tanah haram untuk penanaman durian. – 17 September, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen