MALAYSIA bersetuju untuk mengekstradisi dua lelaki yang dikehendaki pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) kerana operasi penggodaman di seluruh dunia.
Bukit Aman malam ini berkata Jabatan Peguam Negara bersetuju dengan permintaan pihak berkuasa sejajar dengan Akta Ekstradisi 1992 dan perjanjian ekstradisi dua hala antara kedua-dua negara.
“Kedua-dua lelaki itu dikehendaki oleh pihak berkuasa AS kerana disyaki dengan pengubahan wang haram dan jenayah komputer di negara itu.
“Pihak berkuasa AS menghantar permintaan ekstradisi pada 3 September dan Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk melaksanakannya,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Huzir Mohamed dalam satu kenyataan.
Polis juga mendapatkan perintah tahanan reman selama 60 hari bagi kedua-dua lelaki, berusia dalam lingkungan 40-an dan 30-an, yang ditangkap pada 14 September.
Huzir berkata, reman 60 hari itu diperuntukkan di bawah Seksyen 16 (1) Akta Ekstradisi dan Artikel 11 (4) perjanjian ekstradisi Malaysia dengan AS.
Kedua-duanya ditahan di penjara Sungai Buloh. Suspek berusia 40-an adalah ahli perniagaan manakala seorang lagi adalah penganalisis komputer.
Sebelum ditahan, polis memperoleh waran tangkap sementara daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 11 September.
Kedua-duanya dikatakan menjual artifak permainan seperti kit dan kredit permainan secara haram.
Mereka didakwa oleh Jabatan Kehakiman AS bersama lima warga China yang menjalankan penggodam global yang menyasarkan lebih 100 syarikat.
Kenyataan Huzir tidak menyebut nama kedua lelaki itu, tetapi The Star melaporkan hari ini mereka adalah Wong Ong Hua dan Ling Yang Ching, dari syarikat SEA Gamer Mall Sdn Bhd, yang beribu pejabat di Setiawan.
Huzir berkata polis merampas bukti dan dokumen daripada premis syarikat itu. – 17 September, 2020.
Komen