Petronas bayar SST RM2.95 bilion kepada Sarawak


Desmond Davidson

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg menerima cek bayaran SST daripada Pengerusi Petronas Ahmad Nizam Salleh Petronas di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 17 September, 2020.

PETRONAS hari ini membayar cukai jualan negeri (SST) bagi produk petroleum sebanyak RM2.9 bilion untuk tahun lalu kepada kerajaan negeri Sarawak.

Pembayaran ini adalah sebahagian daripada penyelesaian rundingan Petronas dengan kerajaan negeri untuk mengakhiri pertikaiannya mengenai cukai jualan.

Pengerusi Petronas Ahmad Nizam Salleh menyerahkan cek bernilai RM2,956,671,407.36 kepada Ketua Menteri Abang Johari Openg di Wisma Bapa Malaysia, di Kuching lewat petang ini.

“Pembayaran SST oleh Petronas dan anak syarikatnya adalah hasil penyelesaian yang dicapai antara Petronas, kerajan pusat dan negeri,” kata Abang Johari selepas menerima cek tersebut.

Dalam penyelesaian itu, Petronas menarik balik rayuan semakan kehakimannya behrubung keputusan mahkamah yang tidak menyebelahinya.

Ketua menteri berkata ia menandakan Petronas mengiktiraf kuasa perlembagaan Sarawak untuk mengenakan cukai di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri Sarawak 1998.

Sarawak pula menghentikan kes sivilnya terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuching.

Abang Johari berkata, SST bagi tahun ini hanya akan dibayar apabila penilaian dibuat berdasarkan jumlah produk petroleum - minyak mentah, kondensat, urea dan gas petroleum cecair.

Jumlah keseluruhan cukai petroleum yang dikutip Sarawak bagi tahun lalu adalah sekitar RM3.09 bilion.

Shell, Murphy Oil, Pertamina dan Sapura OMV, yang mematuhi dan menjelaskan cukai yang perlu dibayar, secara kolektif membayar RM138 juta, kata Abang Johari. – 17 September, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen