ADIK lelaki Joshua Hilmy tiada masalah dengan keputusan pastor yang hilang itu menukar agamanya dari Islam, kata saksi pada inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.
Ketua Balai Polis Sungai Way Inspektor Zulfadhly Yacob berkata, semasa disoal siasat Firdaus Halim memaklumkan beliau tidak kisah apabila Joshua mahu memeluk agama Kristian.
“Adiknya (Firdaus) tidak halang dia (Joshua) peluk agama lain.
“Atau berkahwin dengan seorang wanita Kristian dari Indonesia,” kata Zulfadhly kepada panel Suhakam.
Saksi ke-14 itu menjawab Pesuruhjaya Suhakam Madeline Berma yang bertanya jika kertas siasatan ada menyebut tentang Joshua menukar agamanya.
Firdaus antara sembilan individu yang disoal siasat polis bagi siasatan ke atas kehilangan Joshua dan isterinya Ruth Sitepu, yang kali terakhir dilihat pada November 2016.
Zulfadhly juga memberitahu panel beliau menghubungi lima lagi adik-beradik Joshua, dan mereka berkata sudah tidak berhubung dengannya sejak bertahun lamanya. – 17 September, 2020.
Komen