Lesen basikal menyusahkan pengguna, kata menteri


Cadangan mewajibkan basikal dilesenkan dan alat tersebut didaftarkan hanya akan menyusahkan pengguna, kata Menteri Belia dan Sukan Reezal Naina Merican. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 September, 2020.

CADANGAN mewajibkan basikal dilesenkan dan alat tersebut didaftarkan hanya akan menyusahkan pengguna, kata Menteri Belia dan Sukan Reezal Naina Merican.

Beliau juga menggesa cadangan yang dikemukakan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Malaysia (Miros) itu diteliti dan mendapat pandangan lebih ramai pihak.

“Kajian keperluan pendaftaran dan nombor plat untuk basikal MIROS tidak pernah mendapat persetujuan menteri berkenaan.

“Perlu penelitian. Jangan tambah beban untuk rakyat aktif bersukan. Perlu libatkan suara ramai,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter.

Beliau berkata demikian selepas ulasan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong yang mendedahkan perkara tersebut tidak pernah dibincangkan di kementeriannya.

Ia mengulas kenyataan Ketua Pengarah Miros Khairul Anwar Abu Kassim yang mendakwa lesen dan nombor plat itu dapat meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan kemalangan maut.

“Miros sedang mengkaji keperluan lesen dan nombor plat untuk basikal memandangkan ia menjadi trend dan minat bagi kebanyakan masyarakat,” katanya seperti dilaporkan semalam.

Kenyataan itu mengundang pelbagai kritikan dari pengguna, aktivis dan juga atlet sukan berbasikal.

Antaranya atlet negara Azizulhasni Awang yang melihat ia akan menyukarkan pengguna seperti kanak-kanak yang berbasikal ke sekolah dan seterusnya mengurangkan pengguna kenderaan itu.

Beliau juga bimbang ia akan menjejaskan ekonomi dan perkara lain yang terlibat dengan sukan berbasikal.

Malah kawalan melalui penguatkuasaan pendaftaran dan lesen itu juga sudah tidak lagi diamalkan di negara barat, katanya lagi di Facebook.

Negara Poland menamatkannya pada akhir 1960-an dan Switzerland menghentikannya pada 2011 dan di Jerman juga sudah lama dihentikan untuk menggalakkan rakyatnya berbasikal, kata beliau.

Selain itu, idea seperti yang disebut oleh Miros tersebut juga tidak diterima di Kanada

“Antara beberapa faktor utama ianya ditolak adalah mengenakan lesen dan plat ini tidak mengubah perlakuan pengayuh basikal itu.

“Kedua, (ia) menimbulkan kepayahan kepada kanak-kanak yang juga berkayuh ke sekolah (dan sebagainya) dan boleh menghalang minat ke arah aktiviti yang lebih sihat,” katanya.

Aktivis pengangkutan sikal seperti Akmal Azfar Abdul Mutalib pula berkata isu sebenar adalah kegunaan jalan raya yang lebih mengutamakan kegunaan kereta bermotor.

Beliau juga menyarankan kerajaan membina infrastruktur yang betul supaya digunakan dengan sebaiknya demi melindungi keselamatan pengguna basikal.

Pada masa sama, Akmal juga menganjurkan supaya pengguna basikal dan kenderaan lain saling menghormati dan berkongsi penggunaan jalan untuk keselamatan.

Isu mengenai keselamatan pengguna basikal itu rancak diperbualkan di media sosial ekoran peningkatan penggunaan kenderaan itu sewaktu pandemik.

Ia selari dengan trend di bandar utama sedunia apabila lebih ramai memilih menggunakan basikal untuk meningkatkan tahap kesihatan dan mengelak bersesak dalam pengangkutan awam.

Ia menyebabkan penguasa bandar seperti di London, United Kingdom membuat kajian dan membina laluan khas untuk pengguna basikal. – 17 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen