Perikatan sandar pada 'abah' tawan Sabah


Sheridan Mahavera

Gambar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di papan iklan kempen PRN Sabah kelihatan di sepanjang jalan di Tuaran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2020.

MUHYIDDIN Yassin memang tidak bertanding di Sabah tetapi Perikatan Nasional (PN) menjadikan “abah” sebagai wajah gabungan itu sepanjang kempen untuk mengambil alih pentadbiran menerusi pilihan raya negeri (PRN) pada 26 September ini.

Poster dan papan iklan besar memaparkan “abah” – nama gelaran yang diberikan kepada Muhyiddin, dipasang di semua 29 kawasan di mana PN bertanding di Sabah, kebanyakannya ialah kawasan Bumiputera Muslim.

Penganalisis politik melihatnya sebagai cubaan menggunakan kelebihan Muhyiddin di seluruh negara di mana kaji selidik menunjukkan tahap populariti perdana menteri itu setinggi 69%.

Ia juga cubaan untuk melawan balas jenama ikonik Mohd Shafie Apdal, bekas ketua menteri Sabah yang mengetuai kempen Warisan Plus menentang PN.

Papan iklan gambar Muhyiddin kelihatan di sepanjang jalan utama dengan slogan “Undi Abah untuk Sabah”.

Abah adalah panggilan mesra untuk seorang bapa, dan pengguna media sosial menggunakan nama itu untuk Muhyiddin sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikenakan bagi menyekat penularan Covid-19, ketika beliau memberikan ucapan secara langsung kepada rakyat.

Pengguna media sosial memanggilnya “Abah” sementara Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah digelar “Pak Long” dan “Pak Ngah”.

Ismail Sabri dan Dr Noor Hisham mengadakan sidang akhbar secara langsung hampir setiap hari di mana mereka memberikan maklumat terkini tentang PKP dan jumlah jangkitan Covid-19.

“Abah” kini menjadi ciri kekal dalam jenama PN untuk Muhyiddin, sama seperti bagaimana satu ketika dulu “Tun” sangat sinonim dengan Pakatan Harapan (PH) ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Pengkritik taktik PN percaya strategi itu akan tikam diri sendiri kerana ia membuktikan bahawa gabungan itu dan sekutunya dalam Barisan Nasional (BN) Sabah tidak mempunyai calon ketua menteri yang berwibawa.

“Mereka bergelut untuk cari ketua menteri, sementara kami sudah pun ada calon ketua menteri yang kuat dalam Shafie Apdal,” kata Ahli Parlimen Kota Belud daripada Warisan Isnaraissah Munirah Majilis.

“Berbanding dengan mereka (PN) kami parti tempatan yang boleh pilih ketua menteri sendiri.”

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali bagaimanapun berkata, populariti Muhyiddin tidak boleh diabaikan terutama di kawasan pedalaman di mana pengundi beragama Islam.

“Dalam kalangan Melayu, populariti Muhyiddin setinggi 85%. Rakyat Sabah di pedalaman juga nampaknya rindukan BN Sabah,” kata Mazlan, merujuk kepada sekutu PN di Sabah.

“Muhyiddin tokoh popular walaupun dalam kalangan penduduk pedalaman di Sabah kerana kepimpinannya ketika krisis Covid-19 dan PN berharap ketokohannya dalam melawan Shafie,” kata Mazlan yang turut memantau PRN Sabah.

Pada masa sama, reputasi Warisan dalam kalangan penduduk luar bandar terjejas kerana tindakan memotong bantuan dan subsidi yang dilakukan bekas kerajaan persekutuan – PH, kata Mazlan.

“Kerana Warisan terikat dengan PH, rakyat kaitkan potongan bajet di bawah (bekas perdana menteri) Dr Mahathir kepada mereka,” kata Mazlan yang juga pensyarah Universiti Teknologi Malaysia. – 17 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen