Gabungan Rakyat Sabah senaraikan janji menjelang pilihan raya negeri  


Chan Kok Leong

Gabungan Rakyat Sabah melancarkan manifesto terdiri daripada sembilan Aku Janji yang akan memberi faedah kepada negeri Sabah sekiranya ia memenangi pilihan raya.– Gmbar The Malaysian Insight oleh Irwwan Majid, 16 September, 2020.

GABUNGAN Rakyat Sabah mengeluarkan sembilan Aku Janji bagi menarik pengundi menjelang pilihan raya negeri 26 September ini.

Gabungan berjanji untuk menyelesaikan isu berkaitan infrastruktur, ekonomi, peluang pekerjaan, perkhidmatan sektor awam, kesihatan, pendidikan, keselamatan, serta pembangunan belia dan wanita.

Sekutu politik terdiri daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan PBS bagaimanapun tidak menjanjikan sebarang bajet atau kenaikan royalti untuk Sabah.

Di bawah infrastruktur, Gabungan berjanji untuk bekerjasama dengan Putrajaya bagi membina jambatan yang menghubungkan Labuan dan Sabah, membina dan membaiki lebih banyak jalan raya di kawasan luar bandar dan memulakan semula projek lebuh raya Pan-Borneo.

Ia turut berjanji untuk menambah baik landasan kereta api sedia ada serta membina landasan baharu, sekiranya menang pilihan raya.

Bagi seksyen ekonomi, Gabungan berjanji untuk menjadikan Pelabuhan Sepanggar sebagai hab perkapalan bagi membantu meningkatkan sektor logistik di Sabah.

Gabungan juga akan mempertimbangkan untuk mewujudkan zon perdagangan bebas bagi menyokong industri tempatan.

Ia juga mahu percepatkan pembinaan jaan raya menghubungkan Kalabakan dan Serudong, meningkatkan aktiviti SME dan memperkukuhkan masyarakat tempatan di setiap daerah.

Mengenai peluang pekerjaan, Gabungan berjanji untuk membawa lebih banyak pelaburan dan memastikan semua projek Sabah menggunakan buruh tempatan.

Gabungan juga berjanji untuk meningkatkan atau mempercepatkan proses membantu penduduk Sabah mendapatkan lebih banyak peluang pekerjaan dan pendidikan.

Aku Janji itu dihantar kepada petugas media selepas ia dilancarkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Kota Kinabalu hari ini. – 16 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen