Penduduk di kawasan rendah sepanjang Sungai Baram diminta berjaga-jaga


Desmond Davidson

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana mengadakan lawatan di stadium tertutup Kapit hari ini.– 16 September, 2020.

PIHAK berkuasa di Sarawak mengeluarkan amaran awal kepada penduduk di kawasan rendah sekitar Sungai Baram agar bersedia untuk dipindahkan sekiranya paras air sungai berkenaan naik. 

Lebih 4,000 penduduk tinggal di sepanjang sungai kedua terpanjang di negeri itu diberi peringatan oleh pejabat pengurusan bencana berhubung peningkatan paras air yang mengancam kawasan di daerah Telang Usan.

Setakat 11 pagi tadi, enam petugas perubatan di Klinik Kesihatan Long Bemang di Apoh Tutoh diminta bersedia sekiranya paras air mencecah ke tahap bahaya. 

Amaran yang sama turut dikelurkan kepada 86 penduduk di rumah panjang Long Buang, Long Bayok (1,200 penduduk), Long Ikang (578), Uma Akeh (296) Long Puak (200), Long Laput (1,750) dan Long Wat (160).

Di daerah Marudi, paras air banjir dilaporkan berhenti meningkat walaupun terdapat kemungkinan hujan lebat akan berterusan. 

Sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Long Lenei, 14 rumah panjang dan kampung termauk di pekan Marudi masih banjir dengan paras air antara 0.5 meter dan 1 meter. 

Tiada penduduk dipindahkan di Baram. 

Di sepanjang Sungai Rajang, dua bandar iaitu Kapit dan Song merkodkan 128 penduduk di pusat pemindahan berikutan hujan lebat sejak Ahad. 

Lapan penduduk dari sebuah rumah panjang dan dua perkampungan di Kapit masih ditempatkan di stadium tertutup Kapit setakat pagi ini. 

Manakala 44 orang daripada 14 keluarga di Rumah Kulleh di Song masih ditempatkan di SK Nanga Embuau yang dijadikan pusat pemindahan sementara.

Mereka dijangka akan dibenarkan pulang sebaik sahaja paras banjir surut 1 meter. 

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Douglas Uggah yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana turut mengadakan lawatan di stadium Kapit hari ini.– 16 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen