Dr Mahathir sedia jadi PM jika 'terdesak', tiada calon lain


Bede Hong

Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi calon perdana menteri sementara dan timbalan perdana menteri Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Disember, 2017.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sedia dinamakan sebagai sebagai perdana menteri jika gabungan parti itu tidak dapat mengemukakan nama lain untuk dicalonkan ke jawatan tersebut.

Beliau akan menerima cadangan itu sekiranya keadaan benar-benar mendesak, katanya menjelang mesyuarat majlis presiden PH yang akan dilangsungkan Jumaat ini bagi membincangkan isu tesebut.

“Saya tak tahu. Jika orang (pemimpin PH) benar-benar terdesak dan mereka tak jumpa calon lain, mungkin orang tua berusia 93 tahun ini boleh jadi perdana menteri sementara,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Dalam pemukiman PH awal bulan ini, parti-parti komponen kecuali PKR bersetuju untuk mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri sekiranya ia menang PRU14.

Langkah menamakan calon perdana menteri itu adalah salah satu strategi baharu blok pembangkang itu untuk memenangi pilihan raya umum tahun depan.

Cadangan itu bagaimanpun masih mendapat tentangan dari PKR yang berbelah-bahagi walau dipersetujui presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Mahathir berkata proses pencalonan itu masih belum selesai, walaupun beberapa parti komponen pembangkang bersetuju menenrimanya sebagai perdana menteri sementara.

“Mereka belum calonkan saya lagi. Keputusan belum dibuat. Belum ada keputusan,” katanya semalam.

Dalam majlis mengumpul dana PH Jumaat lepas, Naib Presiden Amanah Husam Musa berkata, gabungan pembangkang itu mesti cepat membuat keputusan memilih calon perdana menteri sementara bagi memperbaiki peluang memenangi PRU14.

Husam, yang juga bekas naib presiden PAS berkata, topik pencalonan perdana menteri menjadi ‘taboo’ (pantang) dalam Pakatan Rakyat, yang dulunya disertai PAS.

“Tak ada pemimpin yang sanggup tampil ke depan dengan cadangan. Tetapi sekarang, dalam Pakatan Harapan, kita boleh bincangkan perkara itu.

“Tanpa calon perdana menteri, kita tidak dapat keyakinan masyarakat. 

“Ini akan menjadi pertama kali bagi pakatan pembangkang menamakan calon perdana menteri sebelum pilihan raya. Ini akan menjadi detik penting dalam sejarah politik negara.” – 12  Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen