Muhyiddin lancar Aku Janji pilihan raya Sabah


Chan Kok Leong

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama pemimpin parti dalam Gabungan Rakyat Sabahmelancarkan Aju Janji pilihan raya hari ini.–Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 16 September, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Aku Janji untuk memenangi pilihan raya negeri Sabah, dan menggesa pengundi memilih kerajaan negeri yang disokong Putrajaya.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu bagaimanapun tidak menjelaskan butiran mengenai “Aku Janji” pada majlis yang turut dihadiri beberapa pemimpin Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan PBS.

“Saya akan jelaskan lebih lanjut malam ini,” katanya di Sutera Harbour Resort.

Beliau berkata, Sabah merupakan antara negeri yang terjejas teruk akibat Covid-19 kerana sebahagian besar pendapatan mereka adalah daripada aktiviti pelancongan. Sabah juga dianggap salah satu negeri termiskin di negara ini.

“Kerajaan negeri baharu mungkin tidak dapat selesaikan semua masalah anda namun dengan memilih kerajaan negeri yang disokong kerajaan persekutuan akan memberi jalan untuk membantu Sabah menyelesaikan permasalaha ini,” kata perdana menteri.

Selepas majlis itu, risalah Aku Janji dilihat ada di program berkenaan, namun ia tidak diedarkan.

Risalah berkenaan menyatakan beberapa janji gabungan BN-PN-PBS yang juga dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

Antaranya, janji untuk mempertahankan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menunbuhkan jawatankuasa DUN untuk MA63, menubuhkan Majlis Petroleum Sabah, janji untuk mengurangkan jurang ekonomi antara Sabah dan negeri lain dan memastikan kebebasan beragama.

Antara yang hadir mewakili parti adaah Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung BN Annuar Musa, Setiausaha Agung Perikatan Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PAS Takiyuddi Hassan, Presiden SAPP Yong Teck Lee, Presiden Star Jeffrey Kitingan dan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Mokhtar dan ketua Bersatu negeri Hajiji Noor.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berkempen di Putatan malam tadi bagaimanapun tidak hadir pada pelancaran itu.– 16 September, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen