SEORANG peniaga kerugian RM199,096 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam, yang mendakwa mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berusia 45 tahun itu mendakwa dihubungi oleh suspek lelaki pada 5 Ogos lepas, yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan pejabat pos dan memberitahu terdapat bungkusan berisi barangan meragukan yang dialamatkan kepada mangsa.
Panggilan telefon tersebut kemudiannya disambungkan kepada seorang lagi suspek lelaki yang mendakwa sebagai pegawai polis yang mengendalikan kes itu, yang memaklumkan bungkusan itu berkaitan dengan siasatan kes penggubahan wang haram, dan mangsa dikatakan sebagai salah seorang individu disyaki terlibat.
“Bagi mengelakkan diri ditangkap, mangsa diminta untuk memindahkan wang simpanannya ke akaun yang diberikan suspek kononnya sebagai wang jaminan, dengan janji wang itu akan dipulangkan selepas siasatan selesai,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.
Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa telah membuat tiga transaksi pemindahan wang ke akaun yang diberikan suspek pada pertengahan Ogos, sebelum menyedari dia ditipu selepas beberapa kali gagal menghubungi suspek untuk mengetahui perkembangan ‘siasatan’ tersebut.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang pekerja am wanita berusia 48 tahun mengalami kerugian RM6,500, gara-gara keterujaannya untuk menerima hadiah daripada rakan lelakinya di United Kingdom, yang sebenarnya adalah sindiket Love Scam sejak dua bulan lalu.
Mangsa mendakwa bayaran itu bagi mendapatkan kiriman barangan kemas, coklat dan wang tunai AS$53,000 yang dikatakan dihantar rakan lelaki yang dikenali sejak dua bulan lepas, menerusi laman sosial.
“Mangsa mendakwa menerima panggilan telefon dari syarikat penghantaran pada hujung bulan lalu, mendakwa bungkusan itu ditahan kerana tidak membayar cukai, menyebabkan dia perlu menjelaskan bayaran berkenaan sebelum mereka boleh mengepos bungkusan itu,” katanya. – Bernama, 16 September, 2020.
Komen