Sektor pembinaan kurang pekerja, kata persatuan


Bernard Saw

Warga tempatan tidak berminat menceburi sektor yang dimonopoli pekerja asing seperti sektor pembinaan, kata Presiden MBAM Foo Chek Lee. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2020.

PUTRAJAYA perlu memberi perhatian kepada masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor pembinaan, yang jika tidak ditangani akan menyebabkan projek tergendala dan seterusnya memberi kesan kepada ekonomi, kata pemain industri.

Mereka juga menggesa Putrajaya membenarkan permit pekerja asing diperbaharui kerana sukar mendapatkan pekerja tempatan.

Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) Foo Chek Lee memberitahu The Malaysian Insight, meskipun kerajaan menarik semula larangan ke atas pekerja asing di tapak pembinaan namun majikan masih berdepan masalah kerana tidak dapat memperbaharui permit pekerja yang tamat tempoh.

“Permit pekerja yang berada di sini dan tidak boleh balik ke negara asal sudah tamat. Jadi sekarang ini sektor pembinaan kurang tenaga kerja, dan perkara ini serius,” katanya.

Foo juga bimbang isu kekurangan tenaga kerja ini akan menyebabkan banyak syarikat pemaju berdepan masalah jika Putrajaya melancarkan banyak projek.

Putrajaya sebelum ini melarang pengambilan pekerja asing di beberapa sektor untuk memberi keutamaan kepada rakyat tempatan.

Bagaimanapun, tidak ramai warga tempatan berminat menceburi sektor yang dimonopoli pekerja asing seperti kerja-kerja 3D (kotor, bahaya, sukar) termasuk sektor pembinaan. 

Walaupun Putrajaya kemudiannya membenarkan pengambilan pekerja asing dalam sektor pembinaan, namun majikan masih tidak cukup pekerja kerana sempadan negara masih ditutup.

Foo bimbang projek baharu termasuk yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 akan tergendala sekiranya isu tenaga buruh ini tidak diatasi.

“Separuh kedua tahun ini sepatutnya lebih baik berbanding separuh pertama, tetapi bergantung juga kepada keadaan. Sebab masalahnya sekarang ialah industri pembinaan masih kurang pekerja.

“Ada beberapa kontraktor kecil yang dapat projek tapi tak boleh nak mulakan sebab tak cukup pekerja.”

Kerajaan menggalakkan syarikat menggajikan rakyat tempatan, namun tidak ramai yang berminat walaupun ditawarkan upah yang tinggi berbanding sektor lain, kata Foo.

Sukar untuk mendapatkan rakyat tempatan menggantikan pekerja asing meskipun gaji yang ditawarkan mencecah RM3,000 sebulan, jelasnya.

“Semua orang sibuk mencari pekerja tempatan tetapi tiada siapa yang mahu bekerja dalam sektor ini.”

Rakyat Malaysia kata Foo, lebih berminat bekerja di pejabat, menjadi penyelia atau kerja lain.

Sektor lain juga terkesan

Kelembapan industri pembinaan turut memberi kesan kepada sektor lain, antaranya perkakasan, jentera dan bahan binaan, yang hanya pulih 50% susulan perniagaan tidak beroperasi akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Banyak perniagaan juga menghadapi masalah aliran tunai.

Presiden Gabungan Persatuan Pedagang Logam, Jentera dan Bahan-Bahan Pembinaan Malaysia (FMHMBA) Koh Seng Kiat berkata industri pembinaan sekarang ini hanya pulih sekitar 40%-45%.

Banyak ahli persatuan itu tidak masih belum menjelaskan bayaran bagi bekalan kerana projek terhenti akibat PKP, kata Koh.

Beberapa perniagaan juga terjejas teruk apabila kerajaan Perikatan Nasional mengkaji semula projek-projek yang diluluskan sebelum ini. – 17 September, 2020.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen