5,000 pengundi Sabah harap bantuan balik mengundi, kata sukarelawan


Zaim Ibrahim

Pilihan Raya Negeri Sabah akan diadakan 26 September ini bakal menentukan sama ada Warisan Plus akan kekal berkuasa atau Perikatan Nasional dan sekutu ambil alih. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 September, 2020.

HAMPIR 5,000 pengundi Sabah di Semenanjung telah pun memohon bantuan untuk pulang mengundi dalam pilihan raya negeri melalui kempen #PulangMengundiSabah, yang digerakkan oleh sekumpulan sukarelawan.

Inisiatif yang dipelopori anak muda itu bertujuan menggalak dan membantu belia yang kurang berkemampuan yang bermastautin di Semenanjung untuk pulang mengundi di Sabah pada 26 September ini.

Penyelaras kempen Aaron Denison berkata mereka menyasarkan membawa pulang 500 belia Sabah yang bekerja mahupun yang belajar di Semenanjung.

Inisiatif itu tidak berpihak sebaliknya hanya mahu memeriahkan suasana demokrasi di Sabah, jelasnya.

“Sejak kita lancarkan Ogos lalu, kita telah terima 5,000 permohonan dan belum tapiskan mereka lagi.

“Permohonan dalam kalangan mahasiswa paling ramai iaitu 3,500, walaupun sasaran kita 500 sahaja tapi kalau dapat bawa lebih ramai lebih bagus.

“Kita fokus kepada anak muda sebab kami pun golongan belia dan mereka ini lebih ramai tergolong dalam kategori gaji di bawah RM3,000,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Denison sebelum ini pernah terlibat dalam usaha sama semasa Pilihan Raya Umum ke-14.

Menurut beliau, bantuan itu diberikan kepada mereka berdaftar sebagai pengundi, berusia 21 hingga 35 tahun, dan berpendapatan bawah RM3,000.

Jelas Denison, bantuan itu digerakkan atas kesedaran tidak mahu belia Sabah terpinggir daripada sistem demokrasi hanya kerana tidak cukup wang untuk pulang mengundi.

“Kami hanya berkempen di Facebook dan Twitter. Kami terima banyak aduan daripada belia tentang masalah yang mereka hadapi untuk pulang mengundi.

“Ada anak muda yang tidak bekerja kerana krisis wabak Covid 19, ada mahasiswa tidak cukup wang kerana harga tiket mahal, ” katanya.

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal memohon perkenan Yang Di Pertua untuk membubarkan DUN selepas wujud cubaan kerajaan pintu belakang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2020.

Tambah Denison, inisiatif itu juga mengharapkan sumbangan wang ringgit daripada orang ramai untuk membawa seramai mungkin pulang mengundi.

“Harga tiket lingkungan RM350-RM400. Jika kami berjaya bawa 500 orang sekurang-kurangnya, kami perlukan dalam RM170,000.

“Setakat ini bantuan yang kita terima RM20,000. 

“Kita masih ada lagi seminggu, kalau dapat RM100,000 pun saya rasa sudah cukup,” jelasnya.

Inisitif ini membantu kos tiket penerbangan pergi dan balik dari Semenanjung ke Sabah. 

Bagi pemohon yang berpendapatan RM2,000 hingga RM3,000, mereka hanya ditanggung 50% daripada kos tiket.

Bagi mahasiswa atau anak muda yang mempunyai gaji dibawah RM2,000, kumpulan sukarelawan ini akan menyumbang bantuan penuh, katanya.

“Kita akan belikan tiket atau beri wang kepada mereka, bergantung kepada keadaan,” jelas Denison.

Ditanya mengenai sambutan setakat ini, Denison berkata pihaknya sendiri terkejut dengan sambutan yang amat menggalakkan.

Perikatan Nasional bersama sekutu mahu merampas pentadbiran Sabah selepas tewas pada PRU14 lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 September, 2020.

Pada awalnya mereka beranggapan tidak akan ramai yang sanggup pulang ke Sabah untuk mengundi, tambahnya.

“Sejak penamaan calon Sabtu lalu, permohonan yang kita terima naik mendadak. Sebelum itu, kita terima permohonan dalam 4,000 hasil daripada pelancaran Ogos lalu.

“Tapi selepas penamaan calon, kita terima 1,000 lagi permohonan, 60 hingga 70% pula adalah mahasiswa,” katanya.

Jelas beliau, semua yang memohon itu berkata mereka mahu pulang mengundi.

“Kita tak nampak ada gerakan yang mahu boikot ataupun undi rosak, kita nampak anak muda bersemangat untuk pulang mengundi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) Masdania Mokhtar berkata, sambutan menggalakkan daripada mahasiswa menunjukkan golongan belia semakin sedar kepentingan mengundi.

“Beberapa calon belia yang tampil dalam pilihan raya ini mungkin menarik minat golongan belia untuk pulang ke Sabah. Mereka sukar untuk balik kerana masalah kewangan.

“Walapun kita sendiri hadapi kekangan dalam aspek bajet iaitu jumlah yang perlu ditanggung, tetapi kita berusaha sebaiknya untuk mempromosikan lagi kempen ini agar supaya meraih dana secukupnya atau paling tidak boleh membawa separuh daripada jumlah permohonan yang layak diterima,” jelasnya.

Pilihan raya negeri ini diadakan selepas ada usaha oleh bekas ketua menteri Musa Aman untuk mengambil alih pentadbiran apabila mendakwa beliau ada sokongan 33 daripada 65 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Komplot itu menyebabkan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal yang juga presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) memohon perkenan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN dan mengembalikan mandat kepada rakyat.

Dalam pilihan raya kali ini, Warisan bergabung dengan Pakatan Harapan dan Upko atas nama Warisan Plus.

Mereka dicabar gabungan  Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah.

Pilihan raya ini mempertandingkan 73 kerusi, tambahan 13 kerusi baharu hasil persempadan semula yang diluluskan pada Julai 2019.  – 16 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen