PETROSAUDI Oil Services (Venezuela) Limited (PSOS-VZ) telah memberikan aku janji bahawa wang berjumlah AS$340,258,246.87 tidak akan dialih kepada entiti lain dan menyimpannya dalam akaun pelanggan sebuah firma guaman di UK sehingga kes utama selesai.
Peguam Alex Tan yang mewakili PSOS-VZ memaklumkan perkara itu ketika prosiding kes tersebut berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.
Tan telah meminta perbicaraan kes utama ditunda kerana beliau memerlukan masa untuk memfailkan afidavit jawapan kepada isu lain yang dibangkitkan pendakwaan.
“Tidak akan berlaku prejudis kepada pemohon (kerajaan) jika perbicaraan itu ditangguhkan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan berkata Jabatan Peguam Negara tidak membantah penangguhan itu.
Mohd Nazlan kemudian mengarahkan Tan memfailkan afidavit jawapan itu selewat-lewatnya pada 22 Sept ini dan memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 30 Sept.
Mahkamah menetapkan 5 Okt untuk mendengar permohonan kerajaan bagi menyekat sebarang urus niaga membabitkan wang milik PSI dan PSOS-VZ.
Di luar mahkamah, Tan memaklumkan pemberita bahawa aku janji itu telah disahkan dalam afidavit tersebut.
“Aku janji yang dibuat ialah untuk tidak mengalihkan wang itu yang kini disimpan dalam akaun eskrow (yang dipegang oleh Clyde & Co Co LLP di UK),” katanya.
Pada 16 Julai lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan untuk mendapatkan satu perintah sementara bagi menghalang PSI, pengarahnya Tarek Obaid dan anak syarikat itu PSOS-VZ daripada mengalih wang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di UK kepada entiti lain.
Perintah sementara itu adalah bagi mengekalkan status quo pihak-pihak yang terlibat sehingga pelupusan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah sekatan ke atas sebarang urus niaga membabitkan wang milik PSI dan PSOS-VZ yang kini disimpan dalam akaun eskrow serya dipegang oleh Clyde & Co Co LLP di UK.
Peguam Mohd Yusof Zainal Abiden mewakili Tarek Obaid, yang juga pengasas bersama PSI.
Hari ini mahkamah dijadualkan mendengar permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah larangan itu.
Kerajaan juga memohon wang tanpa menyatakan jumlahnya yang disimpan dalam sebuah akaun perantara atas nama Temple Fiduciary Services Limited di Bank Barclays, UK.
Permohonan itu, yang difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA), menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co serta Temple Fiduciary sebagai responden.
Pada 19 Ogos, Mohd Nazlan membenarkan PSOS-VZ untuk mengeluarkan sebanyak AS$1.357 juta selepas membenarkan syarikat itu meminda perintah sementara diperoleh kerajaan yang melarangnya mengalihkan wang tersebut kepada entiti lain.
PSOS-VZ memohon untuk mengubah terma perintah sementara itu bagi membolehkan syarikat tersebut mengeluarkan sebahagian daripada wang berkenaan untuk membiayai kos perniagaan dan perundangan. – Bernama, 15 September, 2020.
Komen