Sumbangan politik RM5 juta adalah untuk Najib, kata saksi kes Rosmah


Ravin Palanisamy

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan kes rasuah hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 15 September, 2020.

BEKAS pembantu Rosmah Mansor hari ini bersetuju dengan cadangan pembelaan yang “sumbangan politik” sebanyak RM5 juta diberikan Jepak Holdings Sdn Bhd adalah untuk Najib Razak yang ketika itu perdana menteri.

Rizal Mansor, 46, saksi utama perbicaraan kes rasuah Rosmah juga bersetuju yang Jepak memang mahu memberi sumbangan politik kepada Najib sebagai penghargaan kerana peranannya membantu syarikat itu mendapatkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Rizal yang merupakan saksi ke-21 kes juga bersetuju dengan cadangan Peguam Kanan Jagjit Singh yang Rosmah bukanlah penerima terakhir yang dimahukan Jepak dalam pemberian sumbangan RM5 juta itu dan ia adalah cadangan Jepak yang sumbangan itu disalurkan kepada Najib melaluinya.

Jagjit: Adakah anda bersetuju dengan saya, berdasarkan bukti, yang sumbangan politik oleh Jepak adalah akhirnya untuk Najib bagi digunakan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan seterusnya?

Rizal: Ya, saya setuju.

Jagjit: Syarikat (Jepak) mahu berjumpa Rosmah kerana mereka berhasrat membuat sumbangan politik sebagai tanda penghargaan untuk bantuan Najib?

Rizal: Ya.

Semalam, Rizal juga bersetuju dengan cadangan Rosmah terlibat dalam projek solar itu kerana Jepak mahu membuat sumbangan politik kepada Najib.

Pengarah Urusan Jepak Saidi Abang Samsudin dan rakan perniagaannya, Rayyan Radzwill Abdullah juga mengesahkan mereka berhasrat membuat sumbangan politik kepada Najib ketika memberi keterangan.

Saidi mengakui ada menawarkan sumbangan politik kepada Najib sebagai tanda penghargaan membantunya mendapatkan projek itu.

Saidi, saksi ke-17 kes, berkata memandangkan beliau tidak dapat berjumpa Najib kerana bekas perdana menteri itu sibuk, beliau membuat keputusan menyerahkan sumbangan politik itu melalui isterinya, Rosmah.

Rizal bagaimanapun tidak setuju dengan dakwaan Jagjit bahawa Rosmah tidak pernah mendapatkan, berunding atau menerima sumbangan politik daripada Jepak Holdings.

Jagjit berkata, Rizal yang merundingkan peratusan sumbangan politik dengan Jepak, dan mencadangkan nilai 10% daripada keseluruhan kos projek dan kemudian menaikkannya hingga 17%, mendakwa ia dilakukan untuk dirinya sendiri bagi mengukuhkan kedudukan politik dengan Umno.

Jagjit juga menuduh Rizal secara peribadi mengami RM5 juta yang sepatutnya diberikan sebagai sumbangan politik kepada Najib, yang mana Rizal nafikan.

Jagjit: Ia tidak logik untuk kamu katakan Rosmah menaikkan jumlahnya sekiranya ia bukan untuk dirinya, tetapi untuk Najib gunakan pada pilihan raya umum.

Rizal: Saya tidak setuju.

Jagjit: Sumbangan itu diminta dan diterima daripada Jepak, Saidi dan Rayyan dipindahkan melalui kamu, dan kemudian menerusi Rosmah dan akhirnya kepada Najib.

Rizal: Saya tidak boleh sahkan.

Jagjit: Tetapi dalam bukti kamu mengatakan ia adalah sumbangan politik kepada Najib.

Rizal: Tujuan untuk Najib, ya. Pelaksanaan saya tidak dapat mengesahkan.

Jagjit: Berdasarkan bukti kamu, saya katakan kepada kamu, wang itu tidak pernah diterima oleh Rosmah?

Rizal: Saya sangat tidak setuju.

Ketika membacakan kenyataan saksi minggu lalu, Riza mengakui meminta RM25 juta, yang mana beliau mahu ia dibayar dalam jumlah RM5 juta setiap tahun selama tempoh lima tahun.

Beliau bersetuju telah menerima RM500,000 daripada Saidi dan Rayyan pada Disember 2016, sebagai sebahagian daripada bayaran RM5 juta setahun.

Rizal memberitahu mahkamah bahawa Saidi menghubnginya pada malam penghantaran dibuat dan mengatakan beliau mahu hantar “durian Musang King” kepadanya, iaitu kod nama untuk wang yang digunakan antara mereka.

Jagjit mencadangkan kod nama “durian Musang King” bermakna wang rasuah, yang mana ia dipersetujui oleh Rizal.

Rizal sebelum ini didakwa atas empat tuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berjumlah RM5.5 juta yang melibatkan projek membekalkan dan memasang sistem tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwwa di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pada 8 Januari, pendakwaan menggugurkan semua pertuduhan ke atas Rizal sebagai balasan untuk beliau memberi keterangan terhadap Rosmah dan beliau kemudian diletakkan di bawah program perlindungan saksi.

Sementara itu, tertuduh, Rosmah, 69 berdepan tiga pertuduhan rasuah, salah satunya kerana meminta RM187.5 juta daripada Saidi sebagai dorongan untuk membantu syarikat mendapatkan projek solar di Sarawak.

Beliau juga dituduh menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta dari Saidi pada 2016 dan 2017.

Perbicaraan ditamatkan awal hari in kerana Rosmah sakit gigi dan beliau mahu berjumpa doktor.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan akan bersambung pada Khamis. – 15 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen