SPRM rujuk Australia kes Mara Inc beli apartmen RM68.4 juta


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM sedang mempertimbangkan pendakwaan untuk beberapa individu terlibat dalam skandal hartanah Mara Inc di Australia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2020.

AGENSI antirasuah sedang mempertimbangkan untuk mendakwa beberapa individu ekoran pendakwaan dijalankan di Australia berhubung satu hartanah Mara Inc di negara itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pihaknya akan mendapat keterangan daripada hasil siasatan Australian Federal Police (AFP) berkaitan kes jualan A$22.6 juta (RM68.38 juta) itu.

“Baru-baru ini dilaporkan beberapa orang sudah pun dituduh di sana oleh pihak AFP. Justeru, kita sudah berhubung dengan AFP dan prosesnya sedang berjalan.

“Kami sudah berbincang dengan timbalan pendakwa raya untuk melihat tuduhan yang mungkin boleh dikenakan ke atas individu tertentu dalam kes ini, berdasarkan sedikit keterangan yang kita peroleh daripada AFP.

“Jika undang-undang membenarkan kita untuk menuduh individu ini, kita akan menuduh individu individu tertentu dalam kes MARA ini berdasarkan bukti daripada AFP,” katanya kepada wartawan.

Ia berikutan pendakwaan terhadap rakyat negara itu yang terbabit dalam salah laku rasuah penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne.

Kes tersebut menyebabkan Mara Inc membuat bayaran yang tinggi melampaui harga pasaran untuk blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Harga hartanah itu pada asalnya ditetapkan A$17.85 juta (RM54.08 juta), tetapi kemudian dijual pada harga A$22.6 juta (RM68. 47 juta), dan sejumlah A$4.75 juta (RM14.39 juta) dibayar atau dijanjikan kepada individu tertentu.

Seorang pemilik syarikat rundingan hartanah Teen Boon Lye, juga dikenali sebagai Dennis Teen didakwa ada 9 Julai lalu atas tuduhan merasuah pegawai kerajaan luar negara bagi jualan itu.

Lelaki yang berasal dari Malaysia itu juga didakwa dengan empat tuduhan berkaitan akaun palsu untuk jualan bangunan Dudley International House.

Bangunan lima tingkat seluas 30,279 kaki persegi itu menempatkan 112 bilik, termasuk asrama pelajar. – 15 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen