Pengarah bahagian Jabatan Perikanan, anak dan menantu direman 4 hari


Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengarah sebuah bahagian di Jabatan Perikanan bersama anak perempuan dan menantunya disyaki menerima wang suapan bagi mempercepatkan siasatan dan rayuan untuk mengurangkan kompaun pemilik-pemilik bot nelayan. – Gambar ihsan SPRM, 15 September, 2020.

PENGARAH sebuah bahagian di Jabatan Perikanan bersama anak perempuan dan menantunya direman empat hari selepas disyaki menerima wang suapan bagi mempercepatkan siasatan dan rayuan untuk mengurangkan kompaun pemilik-pemilik bot nelayan.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 18 September itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 32 hingga 59 tahun itu ditahan antara jam 11.50 pagi hingga 12.10 tengah hari di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya semalam ketika hadir untuk memberi keterangan.

“Suspek dipercayai telah meminta dan menerima suapan antara RM500 sehingga RM2,000 daripada pemilik-pemilik bot nelayan tempatan. 

“Wang suapan itu akan didepositkan ke dalam akaun anak perempuannya. Ia bertujuan mempercepatkan siasatan serta rayuan bagi mengurangkan kompaun terhadap pemilik-pemilik bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 sebelum bot-bot yang ditahan diserahkan semula kepada pemiliknya, ” kata sumber kepada The Malaysian Insight. 

Menurut sumber itu lagi, SPRM turut menyita wang tunai dianggarkan lebih RM21,000, barangan kemas dan jam tangan mewah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya Hasbilah Mohamad Salleh mengesahkan penahanan tersebut dan berkata suspek akan disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) atas kesalahan meminta dan menerima rasuah dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.  – 15 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen