Ekonomi tempatan lembab jadi kelemahan Warisan Plus


Sheridan Mahavera

Warisan Plus berdepan kesukaran dalam PRN Sabah apabila rakyat negeri itu mendakwa ekonomi lembab sejak di bawah pentadbiran gabungan itu pasca PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 September, 2020.

RIDHUAN Lamig masih ingat lagi zaman indah ketika di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di mana beliau boleh menjual semua hasil laut tangkapannya setiap hari seawal jal 5.30 petang.

“Sekarang sampai jam 8 malam pun susah nak jual dan jika tidak laku, saya terpaksa bungkus dan bekukan ikan untuk dijual esok hari,” kata penjual itu di Kinarut itu, iaitu sebuah pekan kecil kira-kira dua jam perjalanan dari Kota Kinabalu.

Selepas menjual di pasar basah di Kinarut di sebelah pagi, Ridhuan akan membawa dulang berisi ikan cencaru untuk di jual di tepi jalan di depan kedai sayur di pekan lama Kinarut.

“Ikan dulu RM12 sekilogram. Sekarang RM8. Dengan harga turun pun, saya susah hendak mendapat pelanggan. Saya jual di tepi jalan dari tengah hari hingga petang dan hanya ada seorang dua saja pelanggan.”

Sebelum gabungan Warisan Plus mentadbir Sabah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018, ada pembangunan hartanah dan infrastruktur di seluruh Sabah, kata Ridhuan.

“Bagus masa bawah BN. Ada banyak projek. Penduduk tempatan dapat banyak kerja dan duit untuk dibelanjakan.

“Mereka akan beli barangan kami, seawal 5 petang hasil kami sudah terjual,” kata Ridhuan, menunjukkan barang jualannya yang masih banyak belum laku sedangkan jam sudah 7 malam.

“Tetapi sekarang pelanggan saya beritahu tidak ada duit, sukar untuk mereka beli banyak.”

Peniaga di Kinarut menyusun barangan jualan. Mereka mengadu jualan lembab sejak PRU14 apabila penduduk semakin kurang duit. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 September, 2020.

Aduan Ridhuan tentang permintaan dan jualan yang lembab senada dengan beberapa peniaga di kawasan Kinarut dan ia turut terbukti menerusi statistik rasmi.

Sabah mencatatkan pertumbuhan terendah pada 2019 dan 2018 dalam kalangan 15 negeri dan wilayah, menurut Jabatan Statistik.

Aktiviti perniagaan yang teruk sepanjang dua tahun lalu akan menjejaskan gabungan Warisan Plus yang sedang berusaha untuk mendapatkan mandat sekali lagi daripada rakyat Sabah menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.

Pertumbuhan Sabah yang lembab juga menjadi mesej utama dalam kempen BN Sabah untuk meyakinkan pengundi bahawa negeri itu lebih makmur sebelum di bawah pentadbiran Warisan Plus selepas PRU14.

“Kerajaan Warisan paling teruk untuk ekonomi Sabah. Kami selama ini menikmati pertumbuhan hingga 8% setahun tetapi di bawah Warisan, turun sampai hampir sifar,” kata Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor.

Dalam satu himpunan membabitkan jentera parti, Hajiji menggesa ahli parti membawa mesej kepada rakyat Sabah bahawa Perikatan Nasional (PN) akan membangkitkan ekonomi Sabah dengan bantuan kerajaan persekutuan.

PN bergabung dengan BN Sabah dan Parti Bersatu Sabah (PBS), menjadikan mereka pesaing terbesar kepada Warisan Plus pada PRN kali ini. – 15 September, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen