Umno di kalbu Bersatu


Hasmi Hashim

BERSATU tidak lain adalah sebuah parti cerminan kepada Umno. Dasar perjuangan Bersatu sama sahaja dengan Umno.

Bersatu adalah sebuah parti Melayu-Bumiputera. Begitulah Umno sejak penubuhannya, juga merupakan sebuah parti Melayu. Bersatu menggunakan istilah “Malaysia” bagi menunjukkan roh nasionalismenya, di mana pada Umno kata seerti yang digunakan ialah “kebangsaan”.

Lebih mendekatkan Bersatu dengan Umno ialah warna merah-putih menjadi warna yang dominan atau warna korporat parti itu. Begitu juga Umno yang sejak penubuhannya sangat signifikan dengan warna merah-putih. 

Maka, kewujudan Bersatu secara tidak langsung ibarat mengesahkan sahaja betapa benarnya asas-asas perjuangan Umno sebagai parti yang berkuasa selama mana negara merdeka.

Mungkin orang dapat menerka bahawa kesamaan imej dan dasar antara Bersatu dengan Umno adalah disebabkan pendiri Bersatu rata-rata adalah mantan-mantan pemimpin utama Umno. Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir dan hampir kesemua pemimpin Bersatu di semua peringkat dahulunya merupakan anggota Umno.

Oleh itu, jika diamati halus-halus, semakin tampak jelas jualah bahawa permusuhan Bersatu-Umno hanya sesuatu yang bersifat sampingan, seraya tidak menyentuh sama sekali soal dasar parti, yang tetap sahaja mencakupi tiga teras utama iaitu Melayu-Bumiputera, Islam dan kenegaraan Malaysia.

Ia mungkin berbeza dengan beberapa parti yang ditubuhkan lama sebelum Bersatu. Ada beberapa parti itu bergelut untuk menjadi berbeza berbanding Umno. 

Misalnya, begitulah beberapa parti yang pernah diusahakan ditubuhkan Onn Jaafar selepas beliau meninggalkan Umno. Penubuhan Parti Negara (1954) atau Parti Kemerdekaan Malaya (1951) adalah dengan tidak lagi memakai dasar satu kaum sebagai dasar parti-parti itu.

Bahkan, beberapa organisasi politik lain selain Umno ada pula yang memilih beraliran kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan lebih awal daripada Umno iaitu pada 1945. Malahan selepas merdeka, ada beberapa parti lagi yang secara dasar memilih untuk bertentangan dengan aliran kanan seperti Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan DAP.

Parti aliran kanan seperti PAS juga bermati-matian mahu membentuk imej dan dasarnya yang tersendiri, yang berbeza dengan Umno. Kita selalu mendengar bahawa PAS menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya. Jika diamati, Islam juga merupakan antara salah satu dasar utama dalam Umno yang sukar sekali untuk PAS menafikannya seratus-peratus.

Tanpa perbezaan dasar antara Bersatu dengan Umno, maka persoalan utama lain yang muncul ialah apakah yang menjadikan orang Melayu hari ini perlu menyokong Bersatu, dan bukannya Umno? 

Retorika yang terus dilaungkan sejak penubuhan Bersatu nampaknya hanyalah berlegar kepada cerita-cerita permusuhan terhadap pimpinan tertinggi Umno. Lebih khusus menjurus kepada Perdana Menteri Najib Razak. 

Kalaupun ada apa yang dikatakan sebagai isu ekonomi, isu yang dibangkitkan berkali-kali masih berlegar selingkar skandal 1MDB. Selama manakah isu berkenaan boleh bertahan?

Perseteruan antara dua kelompok bukan pertama kali wujud dalam Umno. Pada era Dr Mahathir menjadi presiden Umno dahulu pun pernah berlaku perseteruan yang hampir serupa. 

Ketika itu jauh lebih parah. Dr Mahathir ditentang secara terang-terangan oleh Tengku Razaleigh Hamzah bagi merebut jawatan presiden parti.

Daripada perseteruan itulah lahirnya pula parti serpihan iaitu Parti Melayu Semangat 46. Semangat 46 juga telah bekerjasama dengan parti pembangkang lainnya termasuklah DAP dan PAS. 

Namun, kewujudan Semangat 46 itu sendiri sebenarnya tanpa disedari telah mengesahkan bahawa mereka tidak mempunyai dasar yang berbeza berbanding Umno. Angka “46” pada nama parti itu juga adalah merujuk tahun penubuhan Umno.

Sama seperti permusuhan kumpulan Dr Mahathir yang cuba menentang Najib, sebenarnya hampir segala-galanya hanya selingkar persoalan antara tokoh-tokoh tanpa mengubah persoalan soal dasar perjuangan dan parti. 

Sekiranya hal ini benar, sudah tentulah ada kemungkinan besar para pemimpin Bersatu suatu waktu kelak akan kembali semula ke pangkuan parti lama mereka.

Keadaan berkenaan bisa terduga terjadi tatkala Najib meletakkan jawatan. Pada ketika itu Bersatu dengan cepat boleh menjadi tidak releven lagi kerana apa yang mahu mereka perjuangkan, sudahpun tercapai dan berakhir. 

Apakah Bersatu wajar terus membenci dan memusuhi PM yang baharu? Kalau itu terjadi dan berulang-ulang terus, ianya akan hanya melebarkan politik kebencian yang tiada berpenghujung.

Di sinilah ruang persoalan dan pergolakan pemikiran yang bukan mudah, yang digeluti orang ramai tokoh pemikir politik sejak puluhan tahun. Mereka mahu mencari jalan untuk menggantikan Umno, tetapi yang selalu ditemukan ialah jalan buntu dan serba sesat barat.

Sedangkan Umno tetap di situ. – 12  Disember, 2017.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • "Jika diamati, Islam juga merupakan antara salah satu dasar utama dalam Umno yang sukar sekali untuk PAS menafikannya seratus-peratus."

    Umno yang anda katakan dasar utamanya adalah uslam.krrana ia diterajui oleh orzng mrlayu tetaoi tindakan yindakanya langsung tidak mencerminkan dasar utama yang anda sebutkan yaitu islsm. Mengambil atau mengunakan dana rakyat

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan

  • Parti parti berdasar kaum ataupun agama sebenarnya tidak apa apa. Mereka boleh buat baik dan adil kepada golongan lain juga. Yg kita takut ialah kecenderongan mereka jadi extremism dan racist.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan