Kementerian kaji naikkan denda terhadap pesalah alam sekitar 


Hailey Chung Wee Kye

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, satu unit khas turut ditubuhkan bagi menangani jenayah alam sekitar di seluruh negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2020.

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air sedang mengkaji untuk menaikkan denda terhadap pihak didapati melakukan pencemaran susulan pencemaran sungai di Selangor yang menyebabkan lebih satu juta pengguna terjejas, kata Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Menteri itu berkata kementerian sedang mengkaji kadar denda yang dikenakan terhadap pelbagai kesalahan dalam bidang kuasanya. 

“Kami akan semak semula kompaun, kami merasakan denda yang dikenakan terlalu rendah dan kami akan naikkan denda terhadap kilang yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui di kementeriannya hari ini. 

Awal bulan ini, Air Selangor terpaksa menutup empat loji rawatan air selepas Sungai Gong yang membekalkan sumber air mentah tercemar.

Susulan kejadian itu empat individu ditahan.

Tuan Ibrahim berkata, dalam usaha untuk meningkatkan penguatkuasaan, kerajaan menubuhkan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar bagi menangani isu berkenaan. 

“Unit ini akan menjalankan pemantauan di seluruh negara,” katanya. 

Tambahnya, penubuhan unit berkenaan perlu memandangkan berlaku banyak kes pencemaran sejak kebelakangan ini. 

Beliau turut menggesa badan bukan kerajaan dan masyarakat agar terus menjadi mata dan telinga kerajaan bagi memastikan keselamatan sumber air negara. – 14 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen