PAS untung tidak tanding di Sabah, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

PAS memberikan kelebihan kepada sekutunya bertanding di Sabah dan mempersiapkan diri untuk PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2020.

PAS tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri Sabah kerana langkah itu lebih bermanfaat bukan saja untuk parti Islam itu tetapi untuk sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.

Mereka berpendapat dengan PAS bertanding di Sabah, ia akan memberikan banyak kelebihan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya susulan kenyataan pimpinan parti Islam itu yang sensitif kepada pengundi.

Pada masa sama, dengan tidak bertanding di Sabah juga, PAS secara tidak langsung membuat persiapan untuk lebih berjaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pensyarah politik di Universiti Malaya Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat PAS tidak rugi tidak bertanding di Sabah kerana fokusnya kini menjurus kepada menghadapi PRU15.

“Sebenarnya tindakan PAS tidak menyertai pilihan raya negeri Sabah kali ini merupakan strategi politik untuk persediaan berhadapan PRU15

“PAS tidak rugi daripada perspektif imej dan persepsi kerana parti tersebut sukar untuk memperolehi kerusi yang ditandinginya dalam setiap pilihan raya di Sabah.

“Daripada terus tewas dan boleh mencalarkan imejnya menjelang PRU15, lebih baik tidak bertanding,” katanya kepada The Malaysian Insight.

PAS yang bertapak di Sabah pada 1986 tidak pernah tidak bertanding dalam pilihan raya di negeri, tetapi tidak pernah menang.

Dalam PRU14, PAS bertanding 8 kerusi Parlimen dan 18 kerusi negeri, termasuk menampilkan calon bukan Islam.

Pengundian PRN Sabah ditetapkan pada 26 September ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2020.

Menjelang penamaan calon yang berlangsung Sabtu lalu, PAS mengumumkan hasrat bertanding 10 kerusi. Ia sempat melancarkan jentera di dua kawasan, tetapi tidak diberikan satu kerusi pun dalam pengagihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan PN.

“Saya tidak lihat tindakan PAS tidak menyertai PRN Sabah ini memberi sebarang masalah besar kepada kekuatan PAS,” tambah Mohammad Tawfik.

Beliau mengingatkan kekuatan PAS bertumpu di kawasan pantai timur dan utara Semenanjung seperti Terengganu, Kelantan, dan Kedah. Tiga negeri ini sekarang ditadbir oleh PAS.

Semua 18 kerusi PAS di Dewan Rakyat sekarang juga datang dari tiga negeri ini iaitu sembilan di Kelantan, enam di Terenggan dan baki tiga di Kedah.

“Saya melihat PAS lebih matang berpolitik dengan melihat realiti di Sabah yang sukar untuk ia menang kerusi berbanding mendabik dada turut serta memperjudikan calonnya dalam pilihan raya negeri,” katanya.

Dalam satu kenyataan minggu lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak bertanding di Sabah untuk “memberikan laluan kepada rakan-rakan” bagi mengelak pertembungan dua penjuru antara parti-parti yang bekerjasama.

Warisan Plus diterajui Shafie Apdal berdepan cabaran Perikatan Nasional dan Barisan Nasional pada PRN Sabah.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2020.

Elak jadi beban

Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar pula melihat PAS tidak menyertai pilihan raya negeri di Sabah kerana ia akan lebih menjejaskan parti-parti lain yang bersamanya dalam kerjasama politik untuk melawan Warisan.

Hisomuddin berpendapat kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Nik Muhammad Zawawi Salleh mengenai kitab Injil antara faktor PAS tidak diberikan laluan bertanding di Sabah.

Kenyataan itu katanya sensitif kepada pengundi di Sabah, yang sebahagian besarnya beragama Kristian.

“Tidak bertanding PRN ini mungkin kesan akibat kenyataan pimpinan PAS yang tidak sensitif kepada rakan kompomen mereka.

“Mungkin mereka berpendapat, kalau PAS masuk bertanding, risiko kerusi akan jatuh kepada Warisan,” katanya.

Mengenai luahan kecewa sayap Pemuda PAS secara terbuka terhadap keputusan itu, Hisomuddin berkata ia berlaku kerana PAS menyertai gabungan kerajaan tanpa melalui proses biasa yang dilakukan parti sebelum membuat keputusan besar.

“Sekarang fasa untuk kepimpinan yakinkan keputusan politik mereka kepada ahli yang belum bersedia menerima keputusan kepimpinan,” katanya.

Jelas beliau, PAS biasanya akan menganjurkan siri penerangan sebelum keputudan dicapai dalam muktamar.

“Keadaan berlaku sangat pantas, sekarang mereka perlukan keputusan muktamar untuk meluluskan tindakan politik mereka,” tambah Hisomuddin.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata parti itu mahu beri peluang kepada rakan-rakan di PRN Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2020.

Sementara itu, penganalisis politik Mohd Sayuti Omar pula berpendapat PAS berundur dari bertanding di Sabah kerana rasa terhutang budi kerana diberikan tempat yang penting dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin.

“Saya lihat dalam konteks PAS, ia ambil sikap merendahkan diri kerana berterima kasih kepada perkongsian kuasa, mereka merasa teruja dengan jawatan penting kerajaan dalam GLC (syarikat bukan kerajaan) dan sebagainya,” katanya.

Sikap merendah diri itu bagaimanapun tidak disenangi oleh generasi muda dalam PAS, seperti yang mereka suarakan dalam muktamar sayap Pemuda PAS pada Sabtu.

“Mereka nampak seolah-olah PAS beralah. Ada penerimaan yang tidak seimbang terhadap kerjasama politik PAS. Kerjasama ini dibentuk oleh sesetengah pemimpin utama… tidak semua bersetuju.

“Oleh itu mereka yang yang berani sahaja akan protes,” kata Sayuti.

Penganalisis juga mengingatkan dalam sejarahnya, PAS tidak pernah rugi dalam mana-mana kerjasama politik yang disertainya.

Ketika bekerjasama dengan Parti Negara pada 1960-an, PAS membentuk kerajaan negeri di Kelantan dan Terengganu, yang kemudian diulanginya ketika bekerjasama dengan Semangat 46 pada awal 1990-an.

Pada 1999, PAS membentuk Barisan Alternatif (BA) bersama pembangkang, sebelum turut sama menubuhkan Pakatan Rakyat (PR) bersama DAP dan PKR yang membolehkan kerajaan PAS dibentuk di Kedah, Perak, Kelantan, dan Terengganu.

Kontroversi kitab Injil melibatkan Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh daripada PAS juga boleh menjadi beban di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2020.

Dalam ucapan dasarnya di Muktamar PAS ke-66 semalam, Abdul Hadi berkata PAS tidak pernah rugi dalam sebarang kerjasama politik yang disertainya, selagi ia berdiri teguh di landasan Islam.

Muktamar itu berlangsung genap setahun selepas PAS memeterai kerjasama politik dengan Umno atas nama Muafakat Nasional.

Gabungan itu menerima penyertaan Bersatu dua minggu lalu, menjadikannya satu kerjasama tiga parti Melayu dan Islam terbesar di Malaysia.

PAS pada masa sama menjadi parti penaja penubuhan Perikatan Nasional, bersama Bersatu, dan dua parti di Sabah iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Dalam ucapan penggulungannya Abdul Hadi Awang sekali lagi cuba meredakan keresahan ahli PAS apabila berkata mereka akan melihat hasil daripada penyertaan dalam gabungan parti yang membentuk kerajaan.

“PAS ambil tindakan proaktif dalam menangani isu Sabah. Ini mesti faham. Penyertaan dalam kerajaan bukan mesti jadi wakil rakyat atau sertai pilihan raya.

“Dalam politik ada kerajaan teknokrat, yang penting PAS disegani dan dihormati dan tidak mengacau

“Sabar sekejap… kita perlu ambil pendekatan bersatu dalam mencari titik persamaan,” katanya.

Abdul Hadi juga memberi jaminan PAS akan bertanding di kebanyakan kerusi di Kedah, Kelantan, dan Terengganu, berdasarkan persetujuan rundingan pengagihan kerusi dalam PN. – 14 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen