Kempen PRN Sabah muram dan suram


Sheridan Mahavera Chan Kok Leong

Papan iklan Warisan Plus dengan gambar Mohd Shafie Apdal yang tular antara beberapa petunjuk pilihan raya sedang diadakan, suasana keseluruhan masih suram dan muram. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 September, 2020.

PADA Mei 2018, jalan di depan kedai Sopiah Basir di Kinarut penuh meriah dengan bendera berwarna warni pelbagai parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Tetapi, kali ini, walaupun masa depan Sabah dalam pajakan, beliau hanya melihat bendera berwarna merah, hitam dan oren milik Parti Liberal Demokratik (LDP).

“Macam tidak ada semangat pilihan raya. Dua tahun lepas saya boleh nampak macam-macam warna tetapi sekarang hanya satu warna (logo),” kata penjual sayur berusia 37 tahun itu.

Jalan utama pekan lama Kinarut yang mempunyai bahu jalan luas itu adalah tempat strategik untuk menaikkan bendera dan poster calon bertanding pilihan raya.

Tetapi, walaupun tempoh berkempen secara rasminya sudah masuk hari kedua, hanya poster Janrywine J Lusin, calon LDP untuk Kawang dinaikkan di situ, walaupun kawasan itu menjadi medan pertandingan empat penjuru.

Tidak seperti pilihan raya dan pilihan raya kecil lain di mana perarakan dan ceramah sudah bermula pada malam pencalonan lagi, kempen PRK Sabah bermula lambat.

Bendera parti hanya berkibar di sekitar Kota Kinabalu, sementara di pekan lain seperti Putatan dan Sepanggar hanya sedikit sahaja bendera parti dalam tiga blok politik- Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Warisan Plus- kelihatan.

Bagaimanapun, papan iklan memaparkan gambar bekas ketua menteri Mohd Shafie Apdal dengan warna Warisan Plus menghiasi beberapa jalan utama melintasi Kota Kinabalu.

Buat masa sekarang, papan iklan Warisan inilah antara sepanduk memaparkan slogan politik yang menonjol.

Salah satu papan iklan besar yang menarik perhatian awam terletak di Sadong Ja yang berbunyi “We are here to build a nation, not a particular race or religion”. Papan iklan itu dan mesejnya jadi tular di media sosial sehingga turut menarik perhatian orang Semenanjung Malaysia.

Sepanduk, papan iklan atau iklan slogan pesaing Warisan pula masih belum dapat dilihat The Malaysian Insight.

Suasana pekan Kinarut yang masih tidak ada petunjuk negeri Sabah sedang berdepan pilihan raya negeri sedangkan selalunya kawasan ini sudah dipenuhi gambar dan bendera parti bertanding. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 September, 2020.

Warisan Plus terdiri daripada Parti Warisan Sabah, DAP, PKR dan Upko.

Pesaing utamanya, PN, adalah gabungan antara Barisan Nasional Sabah dan Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (Usno), Parti Cinta Sabah dan Parti Gagasan Rakyat Sabah.

Seorang aktivis Warisan Plus juga menyuarakan kehairanan tentang kelembapan aktiviti kempen pilihan raya.

“Ahad selalunya masa terbaik untuk jumpa pengundi sama ada di pasar atau (bertemu) keluarga bersarapan di luar. Tetapi, saya hanya nampak dua daripada empat calon di kawasan KK yang mengadakan program ‘walkabout’,” katanya yang meminta namanya dirahsiakan.

“Mungkin sebab SOP ketat Covid-19 yang dikuatkuasa menyebabkan semua orang sangat berhati-hati menganjurkan program,” kata aktivis itu merujuk kepada garis panduan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengekang penularan wabak.

Parti komponen Warisan Plus- PKR dan DAP- juga perlahan memulakan siri jelajah ceramah mereka dengan hanya satu ceramah diadakan di kerusi Tanjung Papat dihadiri pemimpin DAP nasional Teresa Kok dan Wong Shu Qi.

Ketua BN Sabah Bung Moktar Radin satu-satunya yang berkongsi atucara majlis hariannya dengan media dan calon Lamag itu hanya mempunyai dua majlis- lawatan ke daerah mengundi Bukit Garam dan Usaha Jaya.

Pergerakan belia Sabah, UndiSabah menyalahkan situasi kurang meriah itu wujud disebabkan pilihan raya baharu diadakan selepas dua tahun setengah kerajaan semasa berkuasa.

“Pilihan raya nampak suram sebab pengundi tawar hati dengan kejadian terbaru apabila wakil rakyat mudah sekali lompat parti,” kata penyelaras projek UndiSabah Mahirah Marzuki.

PRN Sabah diadakan selepas DUN dibubarkan susulan perubahan sokongan 14 orang wakil rakyat.

Mereka mengalihkan sokongan daripada pentadbiran Warisan Plus kepada kumpulan diketuai bekas ketua menteri Musa Aman.

Sebelum Musa dapat membentuk kerajaan pintu belakang, Shafie meminta perkenan Yang Di Pertua Negeri dan dibenarkan membubarkan DUN.

Tetapi, suasana suram muram tidak akan menghalang kempen UndiSabah.

“Kami akan terus menggalakkan pengundi menggunakan hak mereka untuk keluar mengundi,” kata Mahirah kepada TMI. – 14 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen