PAS angkat kaki kalau 'kawan' canggah kebenaran, kata Mursyidul Am


Mohd Farhan Darwis

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata parti itu tidak sama sekali akan berkompromi dengan mereka yang bercanggah dari kebenaran.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2020.

PAS tidak teragak-agak untuk meninggalkan mana-mana rakan parti kerjasama politiknya jika mereka tidak lagi berpegang pada landasan kebenaran, kata Mursyidul Am Hashim Jasin.

Katanya, kebenaran adalah prinsip utama yang dipegang oleh PAS dan parti itu tidak sama sekali akan berkompromi dengan mereka yang bercanggah dari kebenaran.

“Kalau kawan-kawan kita buat sesuatu bercanggah kebenaran, sebagai orang tua yang perhati lama, kita sanggup untuk pisah dengan siapa sahaja walaupun kawan baik pada hari ini,” kata Hashim, berucap pada sesi penggulungan di Muktamar PAS ke-66 di Pengkalan Chepa, hari ini.

Jelas Hashim, pendirian PAS itu bukan perkara baru dalam politik.

“Ini prinsip kita, bukan (perkara) baru, dah lama kita pegang, insyaAllah sampai kiamat… kita baik kerana dia (rakan) ikut kebenaran.

“Kebenaran itu dari Allah, kalau sesuatu yang kita berkawan nak buat bercanggah dengan Allah, tak kira siapa dia, kita akan tinggal.

“Ini bukan amaran, nak cakap sahaja,” katanya.

Muktamar hari ini berlangsung genap setahun selepas PAS memeterai kerjasama politik dengan Umno atas nama Muafakat Nasional.

Gabungan itu menerima penyertaan Bersatu dua minggu lalu, menjadikannya satu kerjasama tiga parti Melayu dan Islam terbesar di Malaysia.

PAS pada masa sama menjadi parti penaja penubuhan Perikatan Nasional, bersama Bersatu, dan dua parti di Sabah iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Hashim menjelaskan PAS juga bersiap sedia menjalin hubungan dengan mereka yang pernah memusuhi mereka, begitu juga sebaliknya.

“Kalau hari ini orang nampak PAS baik, walau dia tinggi dia baik, lebih-lebih lagi yang pernah berkawan dan berlawan dengan kita… dia anggap kita baik.

“Orang Islam ada prinsipnya tidak akan digigit dari satu lubang dua kali. Kita (boleh) berkawan lepas tu berlawan, lepas tu berkawan… prinsip ini kita pegang,” katanya.

Isu hubungan PAS dengan rakan politiknya menjadi antara topik hangat dalam muktamar tahunan ini, ketika parti Islam itu tidak diberikan satu kerusi pun bertanding dalam pilihan raya negeri Sabah.

PAS sebelum ini dilapor berhasrat bertanding 10 kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah yang bermula semalam. Ia juga sempat melancarkan jentera di dua kawasan, yang membayangkan kesediaannya bertanding di sekurang-kurang di dua kerusi.

Dalam PRU14, PAS bertanding 8 kerusi Parlimen dan 18 kerusi negeri, termasuk menampilkan calon bukan Islam.

Perwakilan Pemuda PAS dalam muktamar sayap semalam memberi peringatan kepada rakan politik mereka agar tidak mengambil kesempatan ke atas PAS.

Walaupun akur dengan pucuk pimpinan, mereka turut mengingatkan PAS harus diberi laluan mudah dalam perundingan kerusi di semenanjung untuk Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. – 13 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen