Boleh buka kedai sampai 2 pagi, kata Annuar Musa


Elill Easwaran

Annuar berkata, tidak akan berlaku sebarang masalah memandangkan MKN telah membenarkan perniagaan dilanjutkan sehingga 2 pagi asalkan mereka mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP). – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 September, 2020.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membenarkan kedai serbaneka dan restoran beroperasi sehingga 2 pagi, kata Menteri Wilayah Annuar Musa, sehari selepas pihak berkuasa tempatan itu menetapkan masa operasi sehingga 12 tengah malam.

Annuar berkata beliau telah berbincang dengan Datuk Bandar Nor Hisham Ahmad Dahlan dan mereka bersetuju pihak berkuasa tempatan mengikut arahan yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya keputusan itu akan dikuatkuasa bermula Isnin.

“Supaya jelas, saya sudah berbincang dengan datuk bandar dan kami bersetuju untuk membenarkan ia (dua jenis premis) itu dibuka sehingga 2 pagi.

“Bila datuk bandar minta pendapat saya, saya jelaskan yang perniagaan seperti ini mengalami kerugian besar akibat pandemik. Inilah sebabnya saya beritahu datuk bandar saya setuju supaya restoran dan kedai serbaneka dibuka sehingga 2 pagi,” kata Annuar.

Tambahnya, tidak akan berlaku sebarang masalah memandangkan MKN telah membenarkan perniagaan dilanjutkan sehingga 2 pagi asalkan mereka mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Pendirian yang dilihat sebagai pusingan U itu dibuat selepas DBKL menjelaskan yang mereka tidak akan mengikut keputusan Putrajaya yang membenarkan operasi perniagaan sehingga 2 pagi.

“Keputusan untuk membenarkan operasi perniagaan sehingga tengah malam adalah bagi memastikan DBKL dan agensi lain boleh memantau premis,” katanya. 

Pihak berkuasa tempatan berkata dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), DBKL turut melakukan pemeriksaan di 7,200 premis dan mendapati wujud keperluan bagi meningkatkan kesedaran terhadap pematuhan SOP di premis perniagaan.

Pada Khamis lalu, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata MKN akan membenarkan premis beroperasi lebih dua jam setelah mendapat rungutan dari pengusaha premis bahawa pendapatan mereka terjejas.

“(Kami dapat) banyak aduan, terutama di kawasan pelancongan seperti Langkawi. (Kedai) terpaksa ditutup pada tengah malam kerana tidak ada hiburan, (pelanggan) cuma boleh makan.

“Pengusaha ini merayu kami melanjutkan waktu operasi mereka dan kami setuju.

“Namun, ini bukan saja untuk Langkawi tapi untuk semua kawasan,” kata Ismail Sabri dalam sidang medianya di Putrajaya.

Pada awal Mac ketika PKP dilaksanakan, restoran diperintahkan tutup, dengan hanya khidmat pengambilan dan penghantaran sahaja dibenarkan.

Sehinggalah PKPP dilaksanakan pada Jun, restoran dan kedai serbaneka mula dibenarkan beroperasi sehingga tengah malam. – 13 September, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen