Kepelbagaian parti politik adalah norma baharu, kata Mukhriz Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata negara harus bersedia menerima "norma baharu" yang menyaksikan tumbuhnya pelbagai parti politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2020.

NARATIF politik dengan sesebuah parti dominan daripada parti lain, sudah berakhir, kata Mukhriz Mahathir. 

Beliau menjelaskan bahawa tidak ada parti yang akan dapat mendominasi kemenangan dalam pilihan raya tanpa pakatan politik.

Presiden Pejuang itu turut berkata negara harus bersedia menerima “norma baharu” yang menyaksikan tumbuhnya pelbagai parti politik.

“Era di mana sebuah parti menguasai parti lain dalam gabungan politik sudah berakhir. Era Umno dalam Barisan Nasional sudah tak ada lagi.”

“Tidak ada parti yang dapat menang dalam pilihan raya jika mereka bersendiri. Mereka tidak dapat membentuk pemerintahan secara solo”

“Kita harus menerima bahawa (mempunyai banyak parti politik) adalah satu perkara baharu,” kata Mukhriz kepada The Malaysian Insight dalam wawancara pada Khamis.

Namun, bagaimana pula kedudukan bekas ketua pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam perkara ini?

Bapa kepada Mukhriz, Dr Mahathir Mohamad sebelum ini memperkecilkan inisiatif bekas ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq yang membentuk parti anak muda dengan menyifatkan usaha bekas menteri Belia dan sukan itu tidak akan berjaya.

Bekas menteri, Rafidah Aziz juga turut memberikan reaksinya terhadap Syed Saddiq dengan menyifatkan parti baharu itu adalah satu usaha untuk memecah belahkan negara.

Namun, Mukhriz memilih pendekatan yang lebih lembut dengan berkata bahawa kedua-dua parti mungkin saling memerlukan.

“Saya faham mengapa dia memilih jalan itu. Saya tidak akan menghalangnya. Saya harap kita masih dekat dan kita dapat bekerjasama dan mempunyai persefahaman.”

“Apa yang dimaksudkan oleh ayah saya ketika dia mengatakan Syed Saddiq akan gagal sebetulnya adalah persoalan bagaimana Syed Saddiq akan memenangi pilihan raya jika dia hanya menumpukan perhatian pada belia.”

“Sekiranya dia mahu bertanding di kerusi bandar, jumlah pengundi muda adalah kecil. Pengundi muda berpusat di kawasan luar bandar, seperti Gua Musang atau Kuala Terengganu.”

“Namun, di kawasan seperti itu, anda memerlukan parti berasaskan Melayu untuk menang. Inilah maksud Tun. Itulah sebabnya saya katakan, perlu ada kerjasama. Mungkin Pejuang dapat menolong partinya untuk meraih undi orang Melayu, dan mereka dapat bantu kami meraih undi belia,” jelasnya lagi.

Dua minggu lalu, Syed Saddiq bersama-sama dengan 30 anak muda mengadakan perjumpaan tertutup di Kelab Sultan Sulaiman bagi membentuk parti berasaskan belia.

Pengumuman akan dibuat “tidak lama lagi”, kata Syed Saddiq yang mempengerusikan perbincangan selama tiga jam itu.

Antara yang hadir ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd Abdul Jalil Rasheed, dan Vinesh Sinha (FatHopes Energy), Liew Ooi Hann (RinggitPlus), Nadhir Shafiq (TheLorry) dan Radzi Tajuddin (Hi Home), katanya.

“Tidak semuanya adalah usahawan. Kami juga mempunyai peguam Lim Wei Jiat, Amir Abdul Hadi dari Suara Rakyat Malaysia, aktivis Orang Asli Shaq Koyak, peguam hak asasi kanak-kanak, Syed Azmi dan guru Cheryl Ann Fernando (yang pengalamannya dicatat diabadikan dalam filem) Adiwiraku. “

Syed Saddiq, bersama Dr Mahathir Mohamad dan lima pemimpin bersatu yang lain, kehilangan keahlian Bersatu kerana menyokong pembangkang ketika presiden Muhyiddin Yassin mengeluarkan parti itu daripada Pakatan Harapan dan kerjasama dengan Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak bagi membentuk Perikatan Nasional.

Ahli Parlimen Muar itu kemudian berkata akan membentuk parti anak muda dengan struktur kepimpinan lateral, di samping merancang untuk bertanding di kerusi bandar dan luar bandar.

Parti itu tidak akan berpihak kepada PH atau PN, katanya. – 13 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen