PN, BN, PBS bertembung di 17 kerusi


Chan Kok Leong Sheridan Mahavera

Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan sekutu mereka PBS bertembung antara satu sama lain di 17 daripada 73 kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah, yang kempennya bermula secara rasmi hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 12 September, 2020.

PERIKATAN Nasional, Barisan Nasional dan sekutu mereka Parti Bersatu Sabah (PBS) bertembung antara satu sama lain di 17 daripada 73 kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah, yang kempennya bermula secara rasmi hari ini.

Selepas penamaan calon selesai dan disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PBS yang bertanding keseluruhan 22 kerusi bertembung dengan sekutunya di 16 kerusi.

Ketiga-tiga parti masing-masing meletakkan calon di Paginatan (N34), dengan PN diwakili oleh Parti Solidariti Tanah Airku (Star) sementara BN meletakkan Umno. Kerusi dalam kawasan Parlimen Ranau itu ditandingi sembilan calon.

Paginatan dimenangi oleh Abidin Madingkir yang ketika itu bertanding atas tiket BN. 

Naib Presiden Upko itu adalah antara 14 Adun yang terlibat dalam cubaan bekas ketua menteri Musa Aman mengambil alih pentadbiran Mohd Shafie Apdal pada akhir Julai lalu.

Gerakan politik itu dipatahkan dengan pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai yang membawa kepada pilihan raya negeri yang ditetapkan pada 26 September ini.

Dalam pilihan raya negeri ini Abidin dicalonkan oleh PN melalui Star, bertanding sekali lagi di Paginatan.

Awal hari ini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga perdana menteri mengumumkan PN, BN, dan PBS bekerjasama dalam pilihan raya negeri ini atas nama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pemimpin dari Perikatan Nasional dan BN pada hari penamaan calon PRN Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 12 September, 2020.

PBS lawan Umno di 5 kerusi lain

Selain Paginatan, PBS juga meletakkan calon di lima kerusi yang ditandingi oleh Umno, iaitu di dua kerusi baharu Bengkoka (N2) dan Telupid (N47), serta di Tanjung Aru (N22), Lumadan (n34), dan Melalap (N42).

Selain Lumadan yang dimenangi oleh Umno dalam pilihan raya umum yang lalu, semua kerusi lain sama ada di menangi oleh Warisan atau Upko.

PBS pimpinan Maximus Ongkili juga berlaga dengan Star di enam kerusi, dengan PBRS di empat kerusi, dan MCA 2 kerusi.

Bersatu adalah antara pendiri PN bersama Star dan Parti Maju Sabah (SAPP) sementara BN terdiri daripada Umno, PBRS, MCA. 

PBS yang bersekutu dengan kedua-dua gabungan itu bertanding dengan logonya sendiri, yang kali terakhir dipakai dalam pilihan raya pada 1999.

PBS bertembung dengan PBRS dan Star di Tulid (N44). Pertandingan di kerusi baharu dalam kawasan Parlimen Pensiangan ini melibatkan tujuh penjuru.

PBS juga bertembung dengan PBRS di Matunggong (N5), Tandek (N7), dan Kadamaian (N11).

PBS juga berlawan dengan Star di Moyog (N26), Tambunan (N39), Bingkor (N40), dan Liawan (N41).

Selepas penamaan calon selesai dan disahkan oleh SPR, PBS yang bertanding keseluruhan 22 kerusi bertembung dengan sekutunya di 16 kerusi.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 12 September, 2020.

Pertandingan di Moyog melibatkan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri kerajaan Pakatan Harapan Darell Leiking dan tujuh calon lain.

Tambunan disandang oleh Presiden Star Jeffrey Kitingan sementara Bingkor dimenangi calon Star Robert Tawik Nordin. Mereka berdua bertanding sekali lagi dalam pilihan raya kali ini.

Dengan MCA, PBS berlaga di Kapayan (N25) dan Karamunting (N54).

Satu-satunya kerusi bertembung dalam GRS yang tidak melibatkan PBS ialah di Sook (N37) iaitu antara PBRS dan Star.

Di bawah peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya yang diperkenalkan pada 2013, calon yang menarik diri selepas hari penamaan calon, kekal dianggap bertanding dan namanya tetap dicetak pada kertas undi.

SPR menetapkan pengundian pada 26 September melibatkan 1.2 juta pengundi. – 12 September, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen