Pemuda PAS tetap harap RUU355 dibentang semula


Mohd Farhan Darwis

Isu mengenai cadangan pindaan undang-undang RUU355 itu dibangkitkan hari ini oleh Khairil Nizam Khiruddin dalam muktamar sayap pemuda PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2020.

SAYAP Pemuda PAS menggesa kerajaan membentangkan semula cadangan pindaan untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Isu mengenai cadangan pindaan undang-undang RUU355 itu dibangkitkan hari ini oleh ketua pergerakan itu Khairil Nizam Khiruddin dalam muktamar sayap berkenaan.

Katanya gesaan untuk membentangkan semula Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 itu disuarakan sewaktu pertemuan dengan menteri agama Islam.

“(Saya) menegaskan agar RUU355 dapat dibentang dan dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat yang akan datang,” katanya dalam ucapan di muktamar di Kota Bharu.

Gesaan itu disuarakannya ketika parti itu berdepan kritikan kerana masih gagal memindanya walau sudah berjaya menguasai kerajaan persekutuan.

Sementelahan pula portfolio hal ehwal undang-undang kini dikawal menteri dari parti tersebut, Takiyuddin Hassan.

RUU355 antara lain bertujuan memperuntukkan kuasa lebih tinggi kepada mahkamah syariah  untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah di mahkamah itu.

Usul tersebut dikemukakan secara persendirian oleh presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika parti itu masih dalam Pakatan, dan tidak berjaya dimajukan.

Selepas Umno kalah pilihan raya, PAS seterusnya menggunakan usul tersebut untuk meraih sokongan kelompok Melayu-Islam bersama pemimpin parti tersebut melalui siri perhimpunan umum.

Perhimpunan menyokong RUU355 itu menjadi tanda bermulanya kerjasama dengan Umno yang seterusnya membentuk Muafakat Nasional.

Isu RUU355 juga digunakan untuk menyerang pentadbiran Pakatan Harapan pada waktu itu.

Dalam ucapan hari ini Khairil juga berkata beliau menyatakan kesediaan kepada menteri hal ehwal agama untuk Pemuda PAS membantu mengasuh golongan belia dengan “fikrah Islami”.

Katanya Pemuda PAS boleh menyediakan modul cadangan dan tenaga pakar dalam usaha program tarbiah dan pemulihan golongan transgender.

Selain itu, Pemuda PAS juga menuntut agar suruhanjaya siasatan dirajay dibentuk untuk menyiasat dakwaan penyelewengan dalam Tabung Haji semasa pentadbiran Pakatan Harapan. – 12 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen