PARTI Pejuang tidak meletak calon untuk bertanding di mana-mana kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan memberi sokongan penuh kepada Warisan dan sekutu-sekutunya, kata presidennya Mukhriz Mahathir.
Beliau dalam kenyataan hari ini berkata mana-mana individu yang mengakui dirinya mewakili Pejuang dan menyertai PRN Sabah tidak akan mendapat restu kepimpinan parti.
“Sesiapa yang mengakui dirinya mewakili Pejuang dan menyertai PRN Sabah, tidak langsung berurusan dengan kepimpinan Pejuang, jauh sekali mendapat restu kami sebagai calon Pejuang pada PRN tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas menteri besar Kedah itu juga berkata Pejuang akan berkempen untuk calon-calon Warisan Plus sepanjang tempoh kempen pilihan raya sebagai tanda sokongan.
Pejuang sebelum ini memaklumkan tidak meletak calon untuk bertanding di mana-mana dalam PRN Sabah.
PRN Sabah diadakan selepas DUN dibubarkan pada 30 Julai lalu ketika ada cubaan oleh bekas ketua menteri Musa Aman untuk membentuk kerajaan selepas beberapa wakil rakyat penyokong kerajaan Warisan berpaling tadah.
Tempoh kempen rasmi selama dua minggu bermula hari ini sebelum pengundian berlangsung pada 26 September. – 12 September, 2020.
Komen