4 cedera, letupan bom di hab komuter di New York


Polis berkawal di terowong bawah tanah stesen komuter berhampiran Times Square di New York selepas seorang suspek meletupkan bom yang dipasang di badannya. – Gambar AFP, 12 Disember, 2017.

EMPAT dilaporkan cedera dalam satu kejadian letupan bom di hab komuter di New York ketika waktu puncak pada Isnin, menurut agensi berita Xinhua.

Datuk Bandar New York Bill de Blasio berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi waktu tempatan itu, seorang lelaki berumur 27 tahun meletupkan bom yang dipasang di badannya, di terowong bawah tanah berhampiran Times Square dan suspek turut mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis New York City James O’Neil pada sidang akhbar di lokasi kejadian berkata, suspek dikenal pasti sebagai Akayed Ullah dan ditahan polis.

Ditanya sama ada suspek mempunyai hubungan dengan kumpulan Daesh, O’Neil berkata, “suspek sudah memberi kenyataan, namun kami tidak akan mengulas mengenai perkara itu buat masa ini.”

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat, mengesahkan suspek masuk ke AS menggunakan visa imigran F43 pada 2011.

Setakat ini, Presiden AS Donald Trump belum membuat sebarang kenyataan mengenai kejadian itu menerusi akaun twitternya. – Bernama, 12 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen