Bukan Perikatan atau BN, tetapi Gabungan Rakyat Sabah


Chan Kok Leong

Pemimpin PN, Muhyiddin Yassin (tengah), calon DUN Sulaman, Hajiji Noor (kanan) dan pemimpin BN, Rahman Dahlan (kiri) turut hadir proses penamaan calon di Tuaran, Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 12 September, 2020.

PEMBANGKANG di Sabah akan membentuk kerajaan gabungan baharu yang dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah jika menang pilihan raya negeri (PRN) ke-16, yang bermula hari ini, kata Muhyiddin Yassin.

“Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN) atau PBS tidak boleh membentuk kerajaan Sabah sendiri walaupun mereka menang semua kerusi yang ditandingi. Oleh itu, ia harus bergabung untuk memenangi negeri,” kata perdana menteri di pejabat Bersatu di Sulaman hari ini.

“Impian kami adalah untuk menukar kerajaan Warisan kepada PN dan sekutunya,” kata Muhyiddin.

BN dan PBS adalah sekutu kerajaan persekutuan yang diketuai oleh PN, tetapi bertanding dalam PRN Sabah pada 26 September sebagai entiti berasingan.

Kompromi menamakan kumpulan parti Gabungan Rakyat Sabah itu dibuat semalam selepas mesyuarat di Kota Kinabalu, katanya.

“Kami memutuskan untuk menamakan gabungan kami Gabungan Rakyat Sabah selepas mengadakan mesyuarat dengan semua parti,” kata presiden Bersatu.

Beliau berkata demikian kepada penyokong semasa mengiringi Ketua Bersatu Sabah, Hajiji Noor mengemukakan kertas pencalonannya untuk kerusi DUN Sulaman.

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut mencadangkan Hajiji sebagai calon ketua menteri sekiranya Gabungan Rakyat Sabah menang pilihan raya negeri pada 26 September ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi Umno Rahman Dahlan.

Pembangkang di Sabah kini terdiri daripada PN, BN, STAR, PBRS dan PBS sementara gabungan Warisan Plus terdiri daripada Warisan Sabah, PH dan Upko.

Warisan Plus dipimpin oleh ketua menteri sementara Mohd Shafie Apdal dan pembangkang belum menamakan calon ketua menteri.

PRN bermula hari ini dengan pencalonan. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, terdapat 1.12 juta pemilih yang layak.

Dewan Undangan Negeri dibubarkan bulan lalu selepas 13 Adun keluar daripada kerajaan Warisan untuk bergabung dengan BN dan PN. – 12 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen