Bekas Adun PKR tanding di Inanam sebagai calon Bebas


Chan Kok Leong

Bekas naib pengerusi PKR Sabah Kenny Chua akan mempertahankan kerusi DUN Inanam sebagai calon Bebas. – Gambar Facebook, 12 September, 2020.

BEKAS naib pengerusi PKR Sabah Kenny Chua akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam sebagai calon Bebas.

“Saya perlu pertahankan kerusi saya. Saya akan terus berjuang sampai habis. Boleh lihat rekod perkhidmatan saya, saya berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di Inanam hari ini.

Menurut Chua beliau sepatutnya bertanding di kerusi Inanam atas tiket Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Tetapi rundingan tidak berjaya, mereka tidak tunaikan janji. Jadi saya akan bertanding sebagai calon Bebas.”

Chua antara 13 Adun Sabah yang menarik semula sokongan kepada kerajaan pimpinan Warisan, kemudian beralih kepada Musa Aman untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Usaha Musa bagaimanapun gagal selepas ketua menteri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN berkuatkuasa 30 Julai lalu atas perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin.

Chua menang kerusi Inanam pada 2019 dengan majoriti 7,783 undi. Beliau memperoleh 13,633 undi dalam pertembungan enam penjuru.

Beliau antara sembilan calon yang akan bertanding di kerusi Inanam pada PRN Sabah yang akan diadakan pada 26 September ini.

Selain Chua, lapan calon lain adalah bekas ketua menteri Chong Kah Kiat (Parti Demokrasi Liberal), Terrence Tsen (Parti Kerjasama Anak Negeri), Regina Lim (Parti Cinta Sabah), Pito Galim (PKR), bekas pengerusi MCA Sabah Francis Goh (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Mohd Hardy Abdullah (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) and Achmed Noorasrul (Bebas).

Pembangkang di Sabah kini terdiri daripada PN, BN, STAR, PBRS dan PBS sementara gabungan Warisan Plus terdiri daripada Warisan Sabah, PH dan Upko.

Warisan Plus dipimpin oleh Shafie, manakala pembangkang belum menamakan calon ketua menteri.

Hari ini berlangsung proses pencalonan PRN Sabah. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, terdapat 1.12 juta pemilih yang layak. – 12 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen